
GINETTA HADIR DENGAN SUPERCAR ‘AKULA’
Pada Pameran Kenderaan Antarabangsa Geneva (GIMS) 2019, pelbagai pengeluar mempamerkan produk masing-masing.
Kehebatan GIMS terletak pada pelbagai pengeluar yang mengambil bahagian, daripada jenama massa sehingga jenama eksotik.
Maklumlah, GIMS adalah pentas berprestij yang dihadiri oleh pelbagai lapisan pengunjung dan benua.
Biasa dengar jenama Ginetta?
Ginetta adalah pengeluar unik yang ditubuhkan oleh empat adik-beradik Walklett pada tahun 1958.
Ginetta mempunyai sejarah yang panjang dan gemilang dalam mengeluarkan kereta lumba dan buatan tangan.
Model pertama yang dikeluarkan ialah G2 dan disusuli G4, G10, G12, G40 dan G55.
Ginetta hari ini dimiliki oleh juara Le Mans dan usahawan, Lawrence Tomlinson.
Syarikat yang beroperasi di West Yorkshire sekarang banyak terlibat dalam dunia perlumbaan dan program pembangunan pelumba muda.
Sempena GIMS 2019, Lawrence Tomlinson selaku pengerusi syarikat memperkenalkan kereta super baharu serta butiran mengenainya.
Salah satu keunikan nama kereta super ini ialah Akula, bukan perkataan bahasa Melayu tetapi bahasa Rusia yang bermaksud ikan yu.
Akula juga merujuk kepada kapal selam berkuasa nuklear. Bukan setakat nama, warna pun mempunyai maksud garang iaitu Typhoon Black.
Akula hanya dikeluarkan dalam unit terhad iaitu 20 unit sahaja untuk 2020.
Daripada jumlah tersebut 60 peratus sudah ditempah pelanggan walaupun belum sempat dipertontonkan kepada awam.
Ginetta juga merangka program pengeluaran peribadi melalui hubungan di antara pemilik dan jurutera yang membina kereta mereka.
Selain itu, pemilik Akula turut diberi peluang untuk merasai kereta lumba Ginetta G58 di litar lumba.
Pengalaman dengan G58 adalah suatu yang hampir buat pemandu bukan profesional merasai sendiri pelumbaan melalui bantuan kru dan sebagainya.
G58 dikuasakan oleh enjin V8 575bhp dengan berat kereta hanya 940 kg.
Apa yang Ginetta mahu buat ialah beli kereta dan dapat pengalaman perlumbaan ibarat melangkah ke dalam keluarga Ginetta.
Berapakah pula harga Ginetta Akula?
Agak berpatutan jika anda tinggal di United Kingdom iaitu GBP 340,000 atau bersamaan RM 1,822,035.
*1 GBP = RM 5.35
- BACA: FORD GT CARBON – APABILA KERETA LAJU JADI LEBIH RINGAN (DAN CANTIK)
- BACA: PININFARINA BATTISTA, LAJU BAK PELURU 1900 BHP 2300 NM
- BACA: SEBELUM VEYRON DAN CHIRON – BUGATTI PERNAH HASILKAN SUPERCAR MODEN