Buletin

SEBELUM VEYRON DAN CHIRON – BUGATTI PERNAH HASILKAN SUPERCAR MODEN

Generasi kini mengenali Bugatti dengan kereta hiper keluaran mereka yang telah menjadi kereta paling laju di dunia. Mula dikenali ramai dengan pengeluaran Veyron, Bugatti menjadi kian popular dan telah melancarkan pengganti Veyron dikenali dengan nama Chiron. Tapi tahukah anda bahawa lebih kurang 25 tahun terdahulu Bugatti sudahpun mula menghasilkan supercar moden dalam jumlah yang terhad?

Ia dinamakan Bugatti EB 110 dan dihasilkan dari tahun 1991 sehinggalah 1995. Namanya memang tidaklah mengancam mana, sekali dengar macam nama Ebby Yus kalau tak pun Ebby Saiful.

Model ini merupakan model terakhir keluaran Bugatti sebelum mereka jatuh bankrap dan kemudiannya diselamatkan oleh Volkswagen AG pada tahun 1998. Nampak tak macam mana syarikat kereta hampir bankrap diselamatkan oleh syarikat kereta lain tetapi nama jenama asal dikekalkan. Tak ada pula kami dengar Bugatti jadi Bugawagen ataupun Volksgatti.

Bugatti EB110 diperkenalkan buat pertama kali di Versailles dan di hadapan Grande Arche de la Defense di Paris pada 15 September 1991, genap 110 tahun tarikh kelahiran Ettore Bugatti, pengasas syarikat Bugatti.

Model pertamanya dinamakan Bugatti EB 110 GT menggunakan casis gentian karbon polimer yang diperkuatkan, enjin V12 quad turbo 3.5-liter dengan lima injap per selinder yang digandingkan dengan kotak gear enam-kelajuan dan sistem pacuan empat roda.

Secara total ia mempunyai 60 injap dan 12 throttle body individu, bukannya sesuatu yang pelik bagi sebuah supercar sebenarnya.

Tahukah anda bahawa ia juga dilancarkan setahun sebelum supercar Jaguar yang dinamakan XJ220 dilahirkan? EB 110 GT ini juga berada dalam liga yang sama dengan Lamborghini Diablo dan Ferrari 512 Testarossa.

Ia juga dilengkapi dengan sistem suspensi double wishbone dan casis yang diperbuat oleh Aerospatiale, sebuah syarikat teknologi penerbangan.

Ingat pesawat penumpang terlaju di dunia, Concorde? Itu juga hasil sentuhan Aerospatiale.

Ia turut dilengkapi dengan pintu ala gunting (scissor door), penutup enjin dengan kaca jernih yang menampakkan ruangan enjin V12 selain spoiler belakang yang boleh dinaikkan berdasarkan kelajuan ataupun menggunakan suis.

Pada tahun 1992, mereka memperkenalkan pula varian baru yang dinamakan EB 110 SS (Supersport). Ia lebih berkuasa dengan kemampuan menghasilkan 604 bhp kuasa maksima pada 6250 rpm. Kereta super baru itu mampu mencatat kelajuan maksima 348 km/j dan membuat pecutan 0-100 km/j hanya dalam masa 3.2 saat.

DIBELI MICHEAL SCHUMACHER

Publisiti terhebat buat Bugatti ialah bila juara dunia F1, Michael Schumacher turut membeli sebuah EB 110 SS berwarna kuning pada tahun 1994.

Schumacher memiliki kereta tersebut sehinggalah tahun 2003. Beliau telah menjual kereta tersebut selepas rosak teruk akibat satu perlanggaran. Selepas diperbaiki, Schumacher menjualnya kepada Modena Motorsport, sebuah syarikat servis perlumbaan Ferrari di Jerman.

Bagaimanapun sedihnya Bugatti mula ditimpa masalah pada tahun 1995 berikutan kegawatan ekonomi yang melanda Eropah dan Amerika Syarikat.

Mereka sempat membeli syarikat pengeluar kereta sport British ternama, Lotus dalam usaha untuk membangunkan model baru empat-pintu yang dinamakan EB 112 tetapi syarikat terlebih dahulu jatuh bankrap.

Lotus kemudiannya dijual kepada Proton. Secara total sebanyak 139 EB 110 pernah dihasilkan dan rasanya tak ada satu pun sampai ke Malaysia.

Google ads
Back to top button