GM PATENKAN KERETA SEKOLAH MEMANDU TANPA GURU – NAYA CIKGU SEKOLAH MEMANDU PAK KARIM
United States Patent and Trade Mark Filing baharu sahaja terima rekaan sistem kenderaan autonomi khusus untuk menilai dan melatih pemandu baharu. Sistem ini dikatakan akan menggunakan teknologi autonomi untuk melatih dan menilai pemandu baharu sebelum mereka diluluskan untuk memandu di jalan raya awam.
Dengan kata lain, ia akan mengambil peranan yang sebelum ini milik guru sekolah memandu biasa. Ia agak unik kerana ia lebih kepada melatih pemandu menggunakan kenderaan autonomi dan bukannya menggunakan sistem autonomi sepenuhnya bagi menggantikan pemandu. Itu yang yang sering berlaku sehingga menyebabkan berlakunya kemalangan. Lepas tu mula salahkan sistem autonomi.
Kenderaan autonomi kini mula menjadi fokus dunia automotif dan pemain industri. Kini mereka seolah berlumba-lumba menghasilkan kenderaan pintar yang memerlukan input minima daripada pemandu. Sesuai sangat la untuk pemandu-pemandu ‘lemah’ yang asyik pegang telefon kat tangan sambil memandu.
GM tidak terkecuali dan mereka juga mengaplikasikan sistem seperti LIDAR, kamera sensor dan GPS contohnya dalam membangunkan kenderaan autonomi mereka sendiri.
Walaupun penggunaan pelbagai jenis sensor telah menghasilkan kenderaan yang lebih ‘bijak’, GM mengaku yang kadangkala terdapat situasi yang memerlukan campurtangan pemandu sebenar. Inilah salah satu sebab kenapa mereka mempatenkan sistem baharu ini.
Sebab yang lain ialah mungkin ada ketikanya pemandu ingin merasai kepuasan memandu sebenar dan tidak bergantung kepada perisian semata-mata dan nada ketikanya juga sistem autonomi kenderaan tidak mampu beroperasi dengan sempurna dalam persekitaran tertentu. Di luar bandar dan pedalaman contohnya.
Ia juga untuk memastikan pemandu sebenar boleh bekerjasama dengan lebih baik dengan kenderaan autonomi yang dipandu mereka. Ini tak, naik je kereta autonomi terus dibantainya tidur macam kat bilik hotel.
Hasilnya lahirlah sistem belajar memandu GM yang bebas guru. Ia dikatakan bakal mengurangkan kos dan anda boleh belajar memandu tanpa sekatan masa. Malam boleh siang pun boleh. Suami pun tak makan hati kalau isteri pergi belajar memandu. Nak pulak kalau cikgu tu hensem macam Muda Primula.
Lulus atau tidaknya pelajar memandu bergantung kepada sensor-sensor yang digunakan oleh sistem tersebut berdasarkan input dari pelajar itu sendiri. Kalau masa belajar pun dah malas guna signal elok kalau dikenakan renjatan elektrik sikit supaya sel-sel otak tu kekal berhubung.
Sistem ini akan memberikan saranan tentang cara yang tepat untuk menggunakan pedal brek, stereng, pedal minyak dan macam-macam lagilah. Signal memang jadi keutamaan la kalau kat Malaysia ni.
Sistem ini akan membiasakan pemandu dengan fungsi kenderaan yang mereka pandu sedikit demi sedikit dan jauh berbeza dari masa sekarang di mana pelajar atau pemandu mengawal sepenuhnya kenderaan dengan diawasi oleh guru sekolah memandu sambil menguap (bukan semua okey).