Buletin

GR YARIS AKHIRNYA ADA PENCABAR. HYUNDAI i20N, 1.6 TURBO. 201 KUASA KUDA

Akhirnya Toyota GR Yaris sebuah kereta kompak yang dihasilkan oleh Toyota bakal menerima pencabar terbaru dari Korea iaitu Hyundai i20N. Apabila huruf N (yang bermaksud kereta ini dibangunkan di Nurburgring dengan pusat R&D dibina di Namyang Korea). Apabila Hyundai meletakkan huruf N pada produk mereka, ia bermaksud mereka sangat serius.

i20N dibekalkan dengan enjin 4 silinder 1600cc suntikan terus. Apabila digandingkan dengan turbo, enjin ini menjana 201 kuasa kuda pada 6000 RPM dan 275Nm tork antara 1750-4500 RPM. Hanya satu transmisi yang dibekalkan iaitu 6 kelajuan manual dengan berat kereta sekitar 1190kg sahaja.

Ini membolehkan i20N memecut dari 0-100km/j dalam masa 6.7 saat dan halaju maksima dihadkan secara elektronik pada 230km/j. Angka ini semua bakal membuatkan kita semua senyum lebar. Bagi menguatkan lagi kawalan i20N, beberapa pembaharuan turut diperkenalkan pada model ini.

Cesi ini diperkuatkan pada 12 poin bagi meningkatkan ketegarannya. Suspensi depan menggunakan topang McPherson namun rekaannya diubah dan geometri knuckle turut dirombak semula. Sudut camber tayar depan ditambah bagi membekalkan cengkaman yang lebih baik. Bar anti oleng depan yang lebih tebal turut ditambah bersama-sama dengan spring yang lebih keras dan penyerap hentakan yang lebih keras.

Suspensi belakang masih menggunakan rekaan asal iaitu Dual Coupled Torsion Beam Rear Axle namun sama seperti bahagian depan spring dan penyerap hentakan yang lebih keras digunakan. Sistem stering dengan ratio yang lebih kecil digunakan bagi menggantikan sistem stering asal

Sistem brek caliper jenama N-Hyundai berwarna merah dengan saiz 40mm turut dipasang bagi menggantikan caliper asal. Bukan itu sahaja roda depan juga turut dipasang dengan limited slip differential mekanikal bagi prestasi cengkaman yang lebih bagus di selekoh

Bagi membolehkan pemandu melakukan heel&toe dengan mudah, Hyundai turut memperkenalkan ciri Rev-Match pada i20N ini. Rim bersaiz 18 inci dibalut dengan tayar Pirelli P-Zero Ultra High Performance 215/40 bagi memberikan lagi imej sporti. Apa yang menarik berkenaan dengan i20N ialah ia turut dibekalkan dengan sistem amaran jika pad brek melepasi ketebalan minima bagi tujuan keselamatan.

Bahagian dalam i20N mengekalkan ciri tipikal sebuah kereta prestasi Hyundai dengan roda stering khas siri N, penukar gear siri N dan juga 3 pedal aluminium siri N. Bahagian depan dipasang dengan kusyen semi-bucket keluaran khas siri N. Bagi pemandu yang suka ke litar lumba, i20N dipasang dengan Performance Driving Data System yang sentiasa membekalkan maklumat kuasa enjin, tork, boost, sistem rekod masa dan juga pecutan.

Untuk tujuan keselamatan i20N dipasang dengan Hyundai Smart Sense Advanced Driver Assistance System yang memberi ciri seperti amaran brek pra-perlanggaran, brek pra-perlanggaran dengan pengesan pejalan kaki, sistem amaran titik buta, Lane Keeping Assist dan Speed Limit Assist.

Sistem ini juga lengkap dengan sistem amaran trafik lintasan belakang, unit kawalan lampu tinggi, sistem pengawasan pemandu dan juga skrim untuk parkir sebesar 10.25 inci lengkap dengan Android Auto serta Apple Car Play. Untuk pasaran UK, ia bakal dijual pada harga sekitar RM 125,000 (anggaran).

Google ads
Back to top button