Pandu Uji

PANDU UJI: VW TIGUAN ALLSPACE R-LINE. DAH LA POWER, LUAS DAN CANGGIH PULA TU…

Memahami kehendak pasaran yang tidak pernah puas dengan tawaran SUV kompak, Volkswagen Passenger Car Malaysia (VPCM) melancarkan model Tiguan pada tahun 2017. 

Dengan reka bentuk berkotak yang maskulin, digabungkan pula dengan teknologi terkini dan rangkaian kuasa enjin 1.4TSI dan kotak gear DSG, jentera itu tidak menunggu lama untuk menjadi antara model Volkswagen paling laris di Malaysia. 

Dalam tempoh tiga tahun, VPCM cuba untuk terus menarik minat pengguna tempatan terhadap Tiguan. Antara inisiatif yang dilakukan adalah promosi rebat tunai, naik taraf sistem App Connect pada harga cuma RM699 dan pengenalan aksesori WILD. 

Bukan itu sahaja, Tiguan juga ada menerima penambahbaikan kecil seperti meter dan lampu LED belakang baharu, selain menawarkan varian edisi terhad UNITED dengan aksesori eksklusif bernilai sehingga RM12,000 pada Ogos lalu. 

Usaha tersebut tidak berakhir di situ sahaja apabila VPCM memperkenalkan pula Tiguan Allspace pada Ogos lalu. Apa benda Tiguan Allspace ni sebenarnya?

Senang cakap, ia merupakan versi Tiguan dengan tapak roda lebih panjang yang boleh menempatkan tambahan dua lagi tempat duduk di belakang. 

Bagi menarik minat audiens yang lebih luas, Tiguan Allspace didatangkan dalam dua varian iaitu enjin 1.4TSI yang dikenali sebagai Highline dan pilihan lebih berkuasa, Tiguan R-Line dilengkapi enjin 2.0TSI serta sistem pacuan semua roda 4MOTION. 

Allspace dilihat sebagai satu opsyen yang menarik kerana ia hadir pada harga cukup kompetitif, bermula RM165,000 bersama praktikaliti sebuah SUV berkapasiti tempat duduk 5+2. 

Baru-baru ini, saya berpeluang menyertai satu sesi pandu uji ringkas melibatkan dua model terkini Volkswagen iaitu Arteon dan Tiguan Allspace. Tetapi, bagi memudahkan pembacaan, saya hanya akan fokuskan kepada Allspace sahaha dalam artikel ini. 

Sesi pandu uji dimulakan dengan sesi ujian di kawasan luas di MAEPS, Serdang. Di sana, kami menguji keupayaan memecut, menukar haluan, membrek dan melakukan slalom.

Sebagai jentera yang dikuasakan oleh enjin 2.0TSI yang mampu menjana 220PS dan tork puncak 250Nm, tugasan untuk memecut dapat disempurnakan dengan begitu mudah. 

Begitu juga dengan slalom dan menukar haluan, sistem pacuan 4MOTION membuatkan pengendalian Allspace R-Line berasa begitu mantap tanpa sebarang drama yang tidak diperlukan. Olengan badan adalah minimum dan maklum balas sterengnya tepat. 

Selepas hampir dua jam berpanas di MAEPS, kami bergerak ke Janda Baik, Pahang untuk menikmati hidangan tengah hari. Pemanduan yang melibatkan laluan lebuh raya serta jalan kampung bengkang-bengkok yang turun dan menaiki bukit itu menjadi medan sebenar untuk menguji keupayaan sebenar Allspace R-Line. 

Tak pernah sekali pun anda akan berasa SUV itu kekurangan kuasa, sama ada untuk memecut, memotong kenderaan lain atau menaiki bukit. Agihan kuasa dan penukaran gear DSG berkembar 7-kelajuan yang pantas juga membuatkan pemanduan jadi lebih menyeronokkan. 

Dinamik pemanduan dibantu oleh ciri Dynamic Chassis Control (DCC). Lebih menarik lagi, SUV itu didatangkan bersama Driving Mode Selection yang membolehkan pemandu memilih 15 gaya pilihan dan empat mode pemanduan iaitu Comfort, Normal, Individual dan Off-Road.

Sebagai sebuah model R-Line, ruang kabin Allspace ini dilengkapi lencana R-Line seperti pada tempat duduk yang dibalut kulit Vienna, plat pelindung aluminium pada bahagian hadapan dan belakang serta kemasan dekoratif ‘Dark Grid’. 

Susun atur butang kawalan cukup kemas dan mudah dioperasi. Sistem media dan navigasi dengan paparan grafik 2D dan 3D dipaparkan pada skrin TFT bersaiz 11.7 inci yang jelas, nampak premium betul.

Apa yang paling saya suka ialah sistem itu mempunyai ciri Apple Carplay dan Android Auto tanpa wayar. Cuma, anda perlu set pertama kali menggunakan wayar, kemudian tidak perlu lagi melihat wayar berselirat di konsol tengah. 

Sebelum pulang ke Kuala Lumpur, ada demonstrasi ringkas mengenai fleksbiliti ruang yang ditawarkan oleh Tiguan Allspace. Memang betul, jika semua kerusi digunakan baki ruang kargonya agak terhad.

Tetapi, sebaik sahaja kerusi baris kedua dan ketiga dilipat rata, ruang yang tersedia cukup luas. Nak angkut mesin basuh pun lepas. 

Jadi, bagi mereka yang inginkan sebuah SUV dengan tempat duduk 5+2, Tiguan Allspace mungkin boleh dimasukkan ke dalam senarai.

Lagi pun, varian Allspace 1.4TSI tidak jauh berbeza dengan Tiguan 5 tempat duduk. Amacam? Menarik kan…

GALERI

Google ads
Back to top button