Buletin

HYUNDAI KELUAR GAMBAR TEASER i20N. LEBIH GARANG BERBANDING VW POLO GTI, FORD FIESTA ST

Hyundai mengeluarkan gambar ‘mengusik’ pertama model terbaharu i20N yang bakal memasuki pasaran pada tahun hadapan.

Beberapa bulan lalu, pengeluar kenderaan Korea Selatan itu, didapati melakukan sesi pandu uji kenderaan terbabit di litar Nurnurgring, Jerman.

Melalui rakaman gambar, rekaan hatchback terbaharu ini menyerupai model i30N tetapi lebih agresif dan garang.

Di bahagian hadapan, liang kemasukan udara direka dengan lebih besar malah dilengkapi splitter hadapan berwarna merah.

Jentera hatchback terbaharu ini dilengkapi rim bersaiz 18 inci dengan angkup brek N berwarna merah.

Ia turut hadir bersama skirt sisi berwarna merah dan spoiler belakang lebih ganas.

Selain itu, model terbaharu ini menampilkan warna Performance Blue dan diselangi warna Phantom Black pada pilar, bumbung dan juga cermin sisi.

Model i20 N ini dikatakan menampilkan rekaan lebih agresif berbanding pesaing seperti VW Polo GTI dan Ford Fiesta ST.

Begitupun, Hyundai masih belum mengesahkan spesifikasi enjin yang bakal mengisi bonet hadapan model ini.

Khabar angin bertiup kencang mengatakan ia dijangka mendapat khidmat enjin 1.6 liter turbocas 4 silinder yang mampu menjana kuasa 200 hp.

Enjin tersebut dipadankan dengan transmisi manual enam kelajuan yang memacu roda hadapan menerusi LSD.

Model i20N dijangka bakal didedahkan secara rasmi beberapa minggu lagi. – carscoops

Google ads
Back to top button