Artikel Pilihan

HAMPIR SEMUA KERETA HONDA MALAYSIA DIKUASAKAN DENGAN ENJIN 1.5!

Semalam Honda Malaysia telah melancarkan Civic generasi ke 11 yang diberi kod Civic FE dengan harga permulaan RM 125, 634 bagi varian E iaitu varian terendah. Malah model Civic pada kali ini menggunakan enjin 1500cc turbo bagi semua varian dan tiada lagi varian 1800cc Normal Aspirated.

Buat masa ini hanya model HRV sahaja masih menggunakan khidmat enjin i-VTEC 1800cc R18A yang menghasilkan 140 kuasa kuda. Tapi pada hemat kami, enjin ini juga bakal ditamatkan nanti memandangkan Honda Thailand sudah melancarkan HRV 2022 dengan trenkuasa hibrid i-MMD dan enjin 1500cc.

Ya 2 buah lagi model Honda yang menggunakan enjin 2000cc ialah Honda CRV varian terendah dengan enjin R20A yang menghasilkan 153 kuasa kuda. Model CRV ini pun sudah lama berada di pasaran. Model Civic Type R pula menggunakan enjin K20C dengan turbo, tapi seperti yang kita sedia maklum model CTR ini bukanlah model yang dipandu oleh tok bilal yang hendak ke masjid

DOHC i-VTEC pada City

Honda City, Honda Civic, Honda City Hatchback, Honda Accord, dan Honda BRV dikuasakan dengan enjin 1500cc 4 silinder namun berbeza dari segi sistem ambilan udara (turbo atau Normal Aspirated) dan juga digandingkan dengan trenkuasa hibdrid.

Varian paling kurang berkuasa dipasang pada model BRV dikenali dengan L15Z1 i-VTEC dipasang dengan aci sesondol SOHC. Ia menghasilkan 118 kuasa kuda dan 145Nm tork. Tapi bagi BRV generasi kedua yang telah dilancarkan di Indonesia, enjin ini digantikan dengan L15ZF i-VTEC dengan aci sesondol DOHC. Ia menghasilkan 119 kuasa kuda dan 145Nm tork

Enjin ini turut dikongsi dengan model Honda City Sedan dan juga Honda City Hatchback dengan kuasa dan tork yang masih sama. Melainkan anda membeli Honda City RS yang merupakan sebuah model hibrid (intelligent Multi Mode Drive)dikuasakan dengan enjin LEB H5 i-VTEC kitaran Atkinson bagi kecekapan enjin.

LEB H5 i-VTEC

Enjin ini hanya menjana sekitar 97 kuasa kuda dan 127Nm tork sahaja, tapi dipadankan dengan 2 motor elektrik (satu untuk mengecas bateri, satu lagi untuk menggerakkan kereta) yang menjana 108 kuasa kuda dan 253Nm tork pada 0 RPM. Ia motor ini sama seperti EV, menjana tork maksima 253Nm pada RPM yang rendah menjadikan City RS tidak memerlukan kotak gear.

Bagi Honda Civic generasi ke 10, ia dibekalkan dengan enjin L15B7 iaitu lengkap dengan VTC (VVT-i) pada injap kemasukan dan injap ekzos. Walaupun dipasarkan sebagai VTEC Turbo, ia sebenarnya tidak dipadankan dengan teknologi VTEC menghasilkan 174 kuasa kuda dan 220Nm tork.

Bagi model FE, nisbah mampatan direndahkan daripada 10.6:1 kepada 10.3:1 berupaya menjana 180 kuasa kuda dan 240Nm tork dengan boost 16.5 psi. Rekaan paip ekzos diubah dan mekanisme VTEC diberikan pada injap ekzos untuk membantu prestasi turbo

Bagi Honda CRV, enjin ini dikenakan boost yang lebih tinggi daripada sistem turbo sehingga 18.5 psi. Dengan tekanan boost yang lebih tinggi enjin ini menjana 190 kuasa kuda dan 243Nm tork dari 2000 RPM sehingga 5000 RPM. Bagi Honda Accord, tekanan boost dinaikkan sehingga 20.2 psi namun nisbah mampatan kekal pada 10.3:1.

200 kuasa kuda dan 260Nm tork

Sama seperti enjin CIVIC FE, enjin Accord L15BE yang dipasang pada Accord sebenarnya memiliki sistem VVL (Variable Valve Lift) atau dalam bahasa mudahnya VTEC pada injap ekzos. Bila diaktifkan, injap ekzos akan terbuka lebih luas bagi membantu turbo menghasilkan boost yang lebih tinggi.

Hasilnya enjin 1500cc pada Honda Accord menjana 200 kuasa kuda dan 260Nm tork. Jadi tidak hairanlah enjin 1500cc pada Accord lebih berkuasa. Tapi secara asasnya ia masih tergolong dalam kumpulan L15 dengan 4 silinder dan saiz 1500cc. Ia cuma berbeza dari segi talaan akhir samaada Normal Aspirated, Turbo ataupun Hibrid.

Ia boleh menawarkan kuasa serendah 97 kuasa kuda dengan kitaran enjin Atkinson ataupun setinggi 200 kuasa kuda bagi Accord dengan VTEC Turbo dengan boost yang tinggi.

Google ads
Back to top button