Buletin

TOYOTA GR SUPRA BAKAL DAPAT KOTAK GEAR MANUAL?

Cakap-cakap berkenaan kemungkinan GR Supra mendapat pilihan transmisi manual sebenarnya sudah pun lama berlegar di alam maya.

Entah kenapa, versi yang dinanti-nantikan tidak kunjung tiba, namun berita terbaharu yang dilaporkan oleh laman The Drive mengesahkan bahawa GR Supra versi tiga pedal dikatakan bakal muncul pada tahun ini sebagai model tahun 2023.

Tiada sebarang pengesahan boleh dibuat pada masa ini, bahkan Toyota sendiri enggan memberikan penjelasan berhubung kehadiran Supra versi manual ini.

Sebagai peringatan, model asal Supra, iaitu BMW Z4 hanya ditawarkan dalam versi manual untuk varian sDrive20i yang dilengkapi enjin 2.0 liter B48 untuk pasaran tertentu sahaja.

Transmisi manual berkemungkinan besar boleh membuat kemunculan menerusi model Supra yang lebih serius (GRMN Supra?) dengan meminjam enjin S58 daripada M3/M4, namun ini semua terpulang kepada Toyota.

Baru-baru ini, GR Yaris ditampilkan dalam versi GRMN (nama panjangnya Gazoo Racing Meister of Nurburgring) dengan naiktaraf aspek mekanikal dan berat badan yang lebih ringan, dan dihasilkan sebanyak 500 unit khusus untuk pasaran Jepun sahaja.

Kalau GR Yaris boleh dapat versi GRMN, kenapa tidak untuk GR Supra, kan?

Sumber: The Drive

Google ads
Back to top button