Buletin

TOYOTA NOAH, VOXY DEBUT DI JEPUN. HARGA BERMULA RM97,364

Toyota memperkenalkan generasi ke-4 van mini Noah dan Voxy di pasaran Jepun.

Van mini yang menggunakan platform TNGA (GA-C) itu menampilkan rekaan moden dan teknologi terkini pengeluar Jepun tersebut.

Biarpun berkongsi ruang dalaman dan sebahagian besar panel badan, kedua-dua dijual sebagai model berbeza untuk kumpulan sasaran masing-masing.

Noah dijual pada harga bermula AS$23,307 (RM97,364) mankala Voxy pula AS$26,975 (RM112,688).

Kedua-dua model menampilkan gril besar pada bahagian hadapan bersesuaian dengan trend terkini dalam segmen van mini.

Noah mendapat sentuhan konvensional manakala Voxy pula dilengkapi reka bentuk dwi lampu hadapan dan LED lebih kompleks.

Pada bahagian belakang, Noah didatangkan lampu LED dan Voxy lampu jernih dipadankan garisan krom.

Model ‘kembar’ terbaharu itu turut hadir dengan tingkap lebar dan pintu gelangsar untuk memudahkan memasuki kabin.

Ia memiliki dimensi sepanjang 4,695 mm, lebar 1,730 mm, tinggi 1,895 mm-1925 mm, dengan jarak antara roda sepanjang 2,850 mm.

Ruang kabin boleh susun atur dengan tujuh atau lapan tempat duduk tiga baris serta tempat duduk boleh lipat.

Selain itu, ia turut dilengkapi papan pemuka moden dipadankan skrin infotainmen saiz lapan atau 10.5 inci, konsol tengah dalam posisi tinggi, tempat letak cawan dan tray simpanan.

Ciri pilihan menarik seperti skrin dipasang di atas bumbung dan sistem bunyi premium menjadikan pengalaman perjalanan lebih menghiburkan.

Ia turut dilengkapi Toyota Safety Sense dengan semua sistem ADAS terkini.

Bagi memudahkan penggunaan pintu sisi gelangsar, ia hadir dengan sistem kuasa elektronik dan ruang belakang menggunakan mekanisme “karakuri” bagi memberi kebebasan kepada pengguna.

Toyota turut menawarkan varian Welcab yang boleh diakses kerusi roda dengan platform dipasang pada bahagian belakang dan boleh digabungkan tempat duduk Weljoin untuk kemudahan Golongan Kelainan Upaya (OKU).

Noah dan Voxy mendapat khidmat enjin 2.0 liter Dynamic Force dipadankan transmisi Direct Shift-CVT 10 kelajuan Sport Sequntial Shiftmatic.

Toyota menyasarkan jualan Noah mencecah 8,100 unit setiap bulan manakala Voxy dengan angka 5,400 unit. – carscoops/motor1

Google ads
Back to top button