Artikel Pilihan

KERETA BYD TAK BOLEH MASUK PENGKALAN TENTERA US DI JEPUN

Tentera Amerika Syarikat (AS) melarang kenderaan BYD, daripada memasuki Pangkalan Udara Kadena di Okinawa, Jepun berkuat kuasa 26 Oktober 2026. Langkah itu diambil dengan alasan kenderaan berkenaan menimbulkan risiko keselamatan khususnya terhadap keselamatan anggota serta operasi ketenteraan AS.

Menurut laporan Reuters pada 23 Oktober 2026, jurucakap pangkalan Leftenan Kolonel Alli Stormer, mengesahkan keputusan tersebut. Laporan susulan oleh penerbitan ketenteraan AS Stars and Stripes, pada 28 Oktober menyatakan keputusan itu dibuat selepas proses penilaian dan perundingan oleh pihak pemerintah pangkalan.

Larangan tersebut merangkumi kenderaan kakitangan pangkalam, kontraktor, teksi, kenderaan penghantaran dan pengangkutan komersial yang menggunakan jenama BYD. Tetapi buat masa ini sekatan yang disahkan itu hanya melibatkan Pangkalan Udara Kadena sahaja.

Kadena merupakan antara pangkalan udara utama AS di rantau Asia Timur. Terletak di Okinawa, pangkalan itu memainkan peranan penting dalam operasi ketenteraan Amerika di Indo-Pasifik, termasuk penempatan pesawat pejuang, pesawat pengawasan dan pesawat pengisian bahan api di udara. Kedudukannya berhampiran Laut China Timur turut menjadikannya lokasi strategik dalam menghadapi perkembangan keselamatan serantau.

Kebimbangan terhadap kenderaan BYD berkait rapat dengan perkembangan teknologi automotif moden yang dilengkapi kamera, sensor, sistem navigasi GPS, sambungan Bluetooth, Wi-Fi serta pelbagai sistem komunikasi yang membolehkan kenderaan mengumpulkan dan memproses data.

Dalam persekitaran sensitif seperti pangkalan tentera, sistem tersebut berpotensi merekodkan maklumat mengenai lokasi, pergerakan kenderaan, susun atur kemudahan dan keadaan persekitaran. Jika data berkenaan dihantar ke luar kenderaan atau diakses oleh pihak yang tidak dibenarkan, ia berpotensi menimbulkan risiko keselamatan.

Laporan Reuters yang memetik agensi berita Yonhap menyatakan kebimbangan pihak AS berkaitan kemungkinan kamera dan sensor pada kenderaan mengumpulkan maklumat sensitif di dalam pangkalan dan menyebabkan maklumat tersebut terdedah. Isu ini turut berkait dengan keputusan Jabatan Pertahanan AS pada Jun 2026 yang memasukkan BYD dalam senarai syarikat China yang dianggap mempunyai hubungan dengan ketenteraan negara itu.

Senarai tersebut turut merangkumi syarikat teknologi Alibaba dan Baidu serta pengeluar kenderaan elektrik NIO. BYD menolak penetapan tersebut dan menyatakan hasrat untuk mencabar keputusan berkenaan melalui saluran pentadbiran dan undang-undang.

Penetapan dalam senarai Pentagon itu mempunyai implikasi terhadap urusan perolehan dan kontrak kerajaan AS. China sendiri pernah mengenakan sekatan terhadap kenderaan Tesla di beberapa kawasan kerajaan dan lokasi sensitif pada 2021. Kebimbangan ketika itu turut tertumpu pada kamera yang dipasang pada kenderaan Tesla serta kemungkinan pengumpulan maklumat mengenai persekitaran.

Sekatan tersebut kemudian dilonggarkan pada 2024 selepas Tesla menerima pengiktirafan berkaitan keselamatan data daripada persatuan industri automotif utama China.

Google ads
Back to top button