HARGA MINYAK KEKAL TINGGI SEHINGGA 2 TAHUN LAGI
Keputusan terbaharu Kesatuan Eropah (EU) memboikot hingga 90 peratus minyak dari Rusia menjelang hujung tahun ini akan menyebabkan harga pasaran kekal tinggi sehingga dua tahun, lapor akhbar Bangkok Post.
Naib Presiden Eksekutif Kanan Bangkok Bank, Kobsak Pootrakul berkata perang Rusia-Ukraine yang masih belum menemui titik penyelesaian juga menyumbang kepada pengekalan harga mahal minyak dunia.
Oleh sebab itu, Kobsak menasihatkan kerajaan Thailand untuk menyediakan bajet dan meneruskan subsidi harga tenaga bagi membantu mengurangkan kesan kenaikan harga minyak kepada pengguna.
Lanjutan skim subsidi pembayaran bersama dan subsidi hotel boleh dihentikan terlebih dahulu kerana kedua-duanya memerlukan pembiayaan yang besar.
“Larangan terbaru oleh EU ke atas kebanyakan import minyak Rusia akan memberi lebih tekanan kepada harga tenaga dan makanan global, akhirnya mendorong inflasi keseluruhan meningkat lagi,” tegas Konsak.
Kobsak berkata, harga minyak global melonjak dengan pantas kepada AS$120 (RM526) setong dan boleh mencecah AS$150 (RM657) tidak lama lagi kerana Rusia membekalkan kira-kira 10 peratus daripada penggunaan minyak dunia.
Harga baja global juga meningkat kerana Rusia membekalkan 14 peratus baja urea manakala bersama Belarus, Rusia membekalkan 41 peratus potash.Potash adalah nutrien asas untuk tumbuhan dan bahan penting dalam baja.
Menurut Kobsak, ekonomi global berdepan cabaran getir yang disebabkan oleh harga tenaga yang tinggi, kenaikan harga makanan dan sistem kewangan yang tidak menentu.
“Memandangkan harga tenaga dan tanaman terus meningkat, kadar inflasi setiap negara pasti akan meningkat dengan sewajarnya.
“Bank pusat setiap negara pula dijangka mematuhi dasar kadar faedah yang tinggi untuk mengekang tekanan inflasi, mengakibatkan turun naik dalam pasaran kewangan ,” katanya.
Negara-negara kecil dengan jumlah pinjaman yang tinggi dijangka menerima impak dahsyat kerana mereka akan tertakluk kepada serangan kewangan spekulatif. – Agensi