HONDA AMERIKA CATAT PENURUNAN JUALAN 36 PERATUS
Honda Amerika baharu sahaja mengumumkan angka jualan sepanjang bulan Mei, di mana jenama itu mencatatkan penurunan prestasi jualan.
Untuk tempoh Januari hingga Mei 2022, Honda Amerika mencatatkan jualan sebanyak 435,159 unit, atau penurunan sebanyak 36 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
Dalam bulan Mei sahaja, Honda mencatatkan jumlah jualan melebihi 75,000 unit, satu penurunan yang agak besar berbanding 176,815 unit yang dicatatkan pada Mei 2021, disebabkan oleh masalah bekalan yang mengakibatkan inventori syarikat itu berada di paras yang paling rendah dalam sejarah.
Honda CR-V masih lagi menggungguli carta sebagai model yang paling laris terjual, dengan jumlah jualan 17,000 unit pada bulan Mei (atau 93,000 unit Jan-Mei 2022) biarpun generasi baharu CR-V bakal muncul tidak lama lagi.
Keadaan yang sama turut berlaku pada model HR-V generasi lama di mana sebanyak 11,250 unit berjaya dijual sepanjang bulan Mei, biarpun generasi baharu hanya mula dijual pada 7 Jun.
Sementara itu, segmen sedan Honda mencatatkan angka jualan sebanyak 11,066 unit untuk model Accord, diikuti 8,174 unit untuk model Civic. – Motor1