
HONDA CATAT KERUGIAN PERTAMA DALAM TEMPOH 70 TAHUN
Pengeluar automotif Jepun, Honda Motor Co. mencatatkan kerugian tahunan pertama sejak disenaraikan di bursa saham hampir 70 tahun lalu selepas menanggung kos besar berkaitan penstrukturan semula perniagaan kenderaan elektrik (EV).
Syarikat itu dilaporkan menanggung kos melebihi AS$9 bilion (RM35.5 bilion) susulan langkah penyusunan semula operasi EV, sekali gus memaksa Honda menarik balik sasaran jualan EV jangka panjangnya.
Ketua Pegawai Eksekutif Honda, Toshihiro Mibe berkata, syarikat itu tidak lagi meneruskan sasaran untuk menjadikan EV menyumbang 20 peratus daripada jumlah jualan kenderaan baharu menjelang 2030.
Honda juga menggugurkan rancangan untuk beralih sepenuhnya kepada jualan EV dan kenderaan sel bahan api menjelang 2040.

Selain itu, Honda mengumumkan projek EV bernilai AS$11 bilion (RM43.4 bilion) di Kanada ditangguhkan tanpa tempoh masa ditetapkan. Projek berkenaan sebelum ini dirancang sebagai pelaburan terbesar syarikat itu di negara tersebut melibatkan pengeluaran EV dan bateri.
Dalam laporan kewangan bagi tahun berakhir Mac lalu, Honda merekodkan kerugian operasi sebanyak 414.3 bilion yen (RM10.3 bilion), berbanding keuntungan 1.2 trilion yen pada tahun sebelumnya.
Kerugian berkaitan EV sahaja mencecah 1.45 trilion yen, manakala syarikat menjangkakan tambahan kos sekitar 500 bilion yen lagi bagi tahun kewangan semasa.
Walaupun berdepan tekanan besar dalam segmen EV, Honda masih optimis mampu kembali mencatat keuntungan tahun ini menerusi langkah pengurangan kos serta prestasi kukuh perniagaan motosikalnya.
Honda memaklumkan pengeluaran motosikal di India akan terus dipertingkatkan dengan sasaran jualan global mencecah rekod baharu sebanyak 22.8 juta unit.
Prestasi jualan memberangsangkan di India dan Brazil membantu perniagaan motosikal Honda merekodkan keuntungan operasi tertinggi, sekali gus mengurangkan kesan kelembapan jualan kereta di beberapa pasaran utama termasuk China.
Bagaimanapun, penganalisis melihat Honda kini berdepan cabaran besar untuk mempercepatkan strategi EV kerana permintaan global terhadap kenderaan elektrik berkembang lebih perlahan daripada jangkaan.
Pada masa sama, kenaikan harga bahan mentah dan ketidaktentuan geopolitik di Asia Barat dijangka memberi tekanan tambahan kepada keuntungan operasi Honda tahun ini.









