Buletin

HONDA UBAH HALUAN, LANCAR MODEL HIBRID BAHARU MENJELANG 2028

Selepas beberapa projek EV dibatalkan, Honda kini dilihat mengubah haluan dengan memberi tumpuan lebih besar terhadap teknologi hibrid generasi baharu menerusi pengenalan sedan dan SUV baharu yang dijadualkan memasuki pasaran pada 2028.

Dalam sesi pembentangan perniagaan terbaharu syarikat itu, dua model prototaip dipertontonkan sebagai bayangan arah tuju masa depan jenama berkenaan.

Walaupun masih belum didedahkan secara terperinci, kedua-dua model tersebut bakal menggunakan sistem hibrid generasi baharu yang dibangunkan bagi menawarkan tahap kecekapan lebih tinggi berbanding teknologi sedia ada.

Sebelum ini, beberapa projek EV Honda dilaporkan dibatalkan termasuk model 0 Sedan, 0 SUV, Acura RSX serta dua model Afeela hasil kerjasama dengan Sony.

Situasi itu dipercayai mendorong Honda menilai semula strategi elektrifikasinya.

Model sedan baharu Honda tampil dengan rekaan aerodinamik berbentuk wedge dan garis bumbung yang lebih condong, mengingatkan kepada konsep 0 Sedan yang dibatalkan sebelum ini.

Sementara itu, SUV Acura pula dilihat membawa elemen rekaan mirip RSX yang tidak diteruskan pembangunannya.

Kedua-dua model berkenaan dikatakan hampir menyerupai versi produksi sebenar, namun hanya akan mula dijual sekitar 2028.

Honda turut menyasarkan pengenalan 15 model baharu menggunakan sistem hibrid generasi seterusnya menjelang Mac 2030, dengan majoriti model terdiri daripada SUV.

Teknologi pacuan semua roda juga akan memanfaatkan motor elektrik bagi meningkatkan prestasi dan kecekapan.

Selain itu, platform baharu sedang dibangunkan dengan fokus terhadap pengurangan berat kenderaan bagi membantu menjimatkan penggunaan bahan api. Kos pembangunan dan pengeluaran juga dijangka dapat dikurangkan lebih 30 peratus.

Honda mendakwa model hibrid generasi baharu yang bakal dilancarkan mulai 2027 akan menggunakan antara sistem trenkuasa paling cekap di dunia.

Bagi merealisasikan sasaran itu, syarikat berkenaan dilaporkan memperuntukkan kira-kira 4.4 trilion yen untuk pembangunan model petrol dan hibrid dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Dalam masa sama, pelaburan terhadap EV masih diteruskan tetapi dengan pendekatan lebih berhati-hati, termasuk dana sekitar 0.8 trilion yen untuk pembangunan model elektrik masa depan.

Google ads
Back to top button