
HONDA SUPER-ONE PROTOTYPE, BAKAL LANCAR DI JEPUN, UK DAN ASIA!
Honda memperkenalkan kenderaan elektrik (EV) mini baharu, Super-ONE Prototype di Japan Mobility Show 2025.
Model ini dibangunkan untuk menawarkan pengalaman pemanduan EV baharu yang membawa keseronokan dan kegembiraan dalam kehidupan seharian.
Kelibat model ini sudah beberapa kali ditemui di jalan raya dan tampil dalam pelekat samaran di Goodwood pada Jun lalu.
Honda kemudiannya N-One e: di Jepun pada Julai namun satu perbezaan ketara ialah badannya yang langsing dan tidak lebar seperti di Goodwood.
Honda mempunyai rancangan lain dan Super-ONE Prototype ini lah yang dimaksudkan.
One and Only dan Super

Super-ONE Prototype dibangunkan di bawah konsep utama e: Dash BOOSTER.
Honda melengkapkan kereta ini dengan pelbagai ciri dalaman yang menarik agar perjalanan harian yang biasa menjadi pengalaman memandu yang mengujakan.
Nama Super-ONE melambangkan dua perkara iaitu mewakili nilai unik (One and Only) yang ingin disampaikan Honda kepada pelanggan, serta kewujudannya yang melangkaui kebiasaan dan standard sedia ada (Super).
Model ini menekankan keseronokan pemanduan, yang merupakan ciri khas Honda, sambil mengekalkan prestasi alam sekitar dan praktikaliti harian.
Super-ONE menawrkan pengalaman memandu yang mengujakan dan menggembirakan hasil gabungan kelincahan EV kecil, keseronokan pemanduan dan elemen yang merangsang kelima-lima deria.
Prestasi dan Teknologi Pemanduan

Untuk merealisasikan pemanduan yang lincah dan bersemangat, Honda memanfaatkan platform ringan yang telah dibangunkan melalui siri N.
Selain itu, kedudukan yang lebar (wide stance), jarak roda yang ditingkatkan serta fender lebar menyumbang kepada pemanduan yang stabil dan bertenaga.
Super-ONE Prototype dilengkapi Mod BOOST yang dibangunkan khas.
Mod ini meningkatkan output untuk memaksimumkan prestasi unit kuasa.

Melalui penyelarasan kawalan gear maya manual dan sistem kawalan bunyi aktif, ia menghasilkan bunyi yang kuat dan rasa anjakan yang tajam seperti kereta enjin dengan transmisi manual.
Ini merangsang sensitiviti pemandu melalui visual, pendengaran, serta pengalaman fizikal seperti pecutan dan getaran, memberikan pengalaman pemanduan EV yang mengujakan.
Reka Bentuk Luaran dan Dalaman
Reka Bentuk Luaran
Reka bentuk luaran Super-ONE diilhamkan untuk membayangkan prestasi pemanduan yang sebenar.
Fender menonjol yang merangkumi tayar yang lebar, menyerlahkan kedudukan rendah dan lebar (low & wide stance) dan menterjemahkan kekuatan.

Selain N-One e:, model ini turut mengingatkan kepada Honda City Turbo. Tinggal lagi, pemilik hanya memerlukan Motocompacto sebagai pengganti Motocompo yang boleh dilipat.
Reka bentuk aerodinamik yang dibangunkan khas, termasuk saluran udara di hadapan dan belakang, berfungsi bagi meningkatkan prestasi aerodinamik dan kecekapan penyejukan.
Reka Bentuk Dalaman

Dalaman kereta direka untuk meningkatkan jangkaan pemanduan dan mewujudkan ruang yang membolehkan pemandu menumpukan perhatian sepenuhnya.
Tempat duduk sport khas menawarkan daya pegangan yang tinggi untuk kedudukan pemanduan yang stabil.
Selain itu, kulit biru disusun secara tidak simetri bagi menambah sentuhan yang menarik.
Panel instrumen berasaskan garis mendatar digunakan untuk mengurangkan gangguan visual, sekali gus membolehkan pemandu mendapat pandangan yang lebih fokus.

Program Ujian Sehingga UK
Honda telah menjalankan ujian pemanduan yang ekstensif dalam pelbagai keadaan jalan dan iklim di Jepun, United Kingdom dan beberapa negara Asia untuk terus meningkatkan prestasi pemanduan.
Pada Julai 2025, Super EV Concept dipamerkan di Goodwood Festival of Speed 2025 di West Sussex, UK.
Ia berjaya memecut dengan bertenaga di laluan mendaki Goodwood yang ikonik dan mempamerkan potensi baharu bagi keseronokan mengendalikan EV oleh Honda.
Jepun, UK, dan Asia!
Model pengeluaran Super-ONE Prototype dijadualkan untuk dilancarkan bermula di Jepun pada 2026, diikuti UK dan beberapa negara Asia yang mempunyai permintaan tinggi untuk EV mini.
Nama model pengeluaran akan berbeza mengikut rantau:
- Jepun dan Asia & Oceania: Super-ONE
- Beberapa bahagian Asia & Oceania: Honda Super-ONE
- United Kingdom: Super-N
Honda N-One e:





Honda City Turbo II 1983
















