Buletin

HONDA CBR150R TERSEDIA DENGAN WARNA BAHARU – PEARL NIGHTFALL BLUE, HARGA BERMULA RM13K

Boon Siew Honda memperkenalkan warna baharu bagi jentera CBR150R iaitu Pearl Nightfall Blue dan akan tersedia di semua pengedar sah Honda di seluruh negara bermula 22 Jun 2023.

Dari segi penampilan serta spesifikasi, tiada perubahan dilakukan, masih tampil dengan sepasang lampu utama LED nipis, rim 17-inci depan dan belakang, sistem suspensi hadapan jenis USD sementara roda belakang menggunakan khidmat lengan ayun monoshoc Pro-Link.

Untuk rekod, CBR150R didatangkan dengan kapasiti tangki 12 liter manakala segala maklumat tunggangan dipaparkan di speedometer digital sepenuhnya.

Honda CBR150R dipacu oleh enjin DOHC 150cc, penyejuk cecair, empat injap yang menghasilkan 16hp pada 9,000rpm dan tork 13.7Nm pada 7,000rpm.

Nadi itu digandingkan dengan transmisi enam kelajuan dan klac assist & slipper untuk pengalaman tunggangan terbaik.

Ciri-ciri lain termasuklah Anti-lock Braking System (ABS) di roda hadapan dan belakang meningkatkan keyakinan sistem brek.

Selain itu, ciri isyarat berhenti kecemasan (ESS) pula berfungsi mengaktifkan lampu hazard secara automatik apabila brek ditarik.

Untuk harga, Honda CBR150R boleh dimiliki pada harga RM13,299 tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran.

GALERI:

Google ads
Back to top button