Buletin

PADAH LARIKAN DIRI DARI POLIS, MYVI MILIK PENGEDAR DADAH TERBABAS DALAM TALI AIR

Seorang lelaki dipercayai pengedar dadah dicekup polis selepas kereta suspek hilang kawalan dan terbabas ke dalam tali air Kampung Alor Besar.

Suspek berusia awal 30-an itu cuba melarikan diri selepas terserempak dengan sepasukan anggota polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang di kawasan tepi jalan Kampung Batu Menunggul.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintenden Arriz Sham Hamezah berkata, kejadian turut menyebabkan beberapa anggota polis terjun ke dalam tali air bagi membantu mengeluarkan suspek dari keretanya.

“Suspek dilihat memandu kereta jenis Perodua Myvi dalam keadaan mencurigakan. Susulan itu, sepasukan polis menghampiri kenderaan tersebut sebelum pemandunya bertindak memecut ke arah jalan besar menuju Kobah.

“Polis bertindak mengejar kereta tersebut sehingga memasuki kawasan mini tar di Kampung Alor Besar. Setibanya di simpang tiga mini tar, kereta suspek hilang kawalan lalu terbabas dan terjunam ke dalam tali air,” katanya.

“Pemeriksaan dilakukan terhadap suspek berusia lingkungan 30-an tidak menemui sebarang barang menyalahi undang-undang dan dia juga tidak mengalami kecederaan.

“Suspek kemudian dibawa ke IPD Pendang untuk tindakan lanjut, semakan mendapati suspek merupakan seorang pengedar dadah yang aktif di Pendang dengan gelaran nama ‘Diuh’,” ujarnya.

Suspek ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1985. – KOSMO! ONLINE

Google ads
Back to top button