Motosikal

HONDA CBR150R 2019 FACELIFT TIBA DI THAILAND – HARGA BERMULA RM11,820

Selain model CBR250RR, AP Honda Thailand turut melancarkan model supersport bersesaran lebih kecil, Honda CBR150R 2019. 

Model facelift ini ditawarkan pada harga bermula 92,000 baht (RM11,820) seunit dan dibezakan menerusi varian dengan dan tanpa brek ABS. 

Dibina di atas kerangka Truss baharu, CBR150R dikatakan mempunyai agihan berat yang seimbang untuk memberi kualiti tunggangan lebih mengujakan. 

Dari segi penampilan, jentera itu kini lebih bergaya dengan sistem lampu utama berkembar LED yang nipis. Ia juga dipasang dengan meter LCD digital sepenuhnya yang memaparkan pelbagai maklumat tunggangan seperti amaran suhu enjin, indikator kedudukan gear, jarak perjalanan, takat bahan api dan macam-macam lagi. 

Tangki minyak berkapasiti 12 liter itu pula direka dengan lekuk yang membolehkan penunggang mendapat posisi tunggangan yang mantap.

CBR150R 2019 menggunakan enjin 150ccDOHC empat lejang dengan sistem sejuk cecair baharu. Mampu menjana kuasa mencecah 17.1PS dan tork 14.4Nm, ia dipadankan dengan kotak gear enam kelajuan.  

Tunggangan kini lebih meyakinkan apabila  menggunakan suspensi belakang boleh laras Pro-Link dengan lima tetapan pra-bebanan. 

Aspek keselamatan motosikal itu dipertingkatkan lagi menerusi siste, Emergency Stop Signal. Ia berfungsi menyalakan lampu hadapan dan belakang secara serentak sekiranya brek ditekan keras secara serta-merta (varian ABS sahaja). 

CBR150R hadir dalam tiga pilihan warna iaitu hitam, biru/hitam, merah/hitam dan livery Repsol Honda. Varian Repsol Honda dan hitam merah dilengkapi sistem brek ABS dua saluran serta cakera beralun.  

GALERI

Google ads
Back to top button