Artikel Pilihan

HONDA CIVIC EP3 – KISAH ANAK ANGKAT TYPE-R DARI UK

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera m. Hari ini kita akan membincangkan tentang perihal Honda Civic kedua bagi versi Type R iaitu Honda Civic EP3 Type R.

Model ini sebenarnya bukanlah lahir di Jepun walaupun ianya merupakan sebuah Honda. Model ini lahir di Swindon, England. Hal ini kerana Honda mahu memasuki pasaran eropah (EDM). Akan tetapi, bagi pasaran JDM, pihak Honda memutuskan untuk mengimport model ini secara terus ke Jepun.

Ketika dilancarkan pada tahun 2001, jentera ini merupakan model pertama yang dilengkapi dengan enjin “K-Series” iaitu K20A2 yang bersesaran 1,998cc (2.0L) dan mampu menghamburkan kuasa sebanyak 197hp dan daya kilas sebanyak 188Nm. Dengan munculnya model ini, secara automatiknya kita dapat lihat bahawa Honda Civic EK9 Type R merupakan model Civic Type R yang terakhir menggunakan enjin “B-Series”.

Dimensi jentera ini adalah seperti berikut :-

  • Panjang – 4,140.2mm
  • Lebar – 1,694.2mm
  • Tinggi – 1,424.9mm
  • Berat – 1,204kg

Melalui angka-angka ini, jentera ini pendek sedikit, mempunyai lebar yang sama, tinggi sedikit dan berat sedikit berbanding abangnya iaitu Honda Civic EK9 Type R.

Ia juga menerima “Seam Weld” di tempat kritikal bagi tujuan pengukuhan Chasis. Dari segi rupa, ia tidaklah seganas jentera sukan yang lain dan ada ketika ia dianggap sebagai jentera “sleeper” lebih daripada “sport”. Namun rupa ini subjektif, ada yang cakap cantik, ada juga yang berkata sebaliknya.

Jepun adalah Jepun. Perangai kiasu diorang boleh tahan.

Kenapa ? Untuk pengetahuan, model EDM dan JDM mempunyai perbezaan yang ketara sebenarnya. Salah satunya adalah enjin. Enjin bagi model JDM diambil daripada model Integra DC5 Type R.

Enjin ini dibuat di Jepun dan diekssport ke UK untuk dipasang pada jentera ini. Kuasa juga berbeza dimana enjin berkod K20A ini mampu menghamburkan kuasa sebanyak 212hp dan daya kilas sebanyak 202Nm. Untuk enjin NA, angka ini besar bezanya ye. Saya ringkaskan di sini untuk kod enjin.

  • EDM EP3 – K20A2, 197hp dan daya kilas 188Nm
  • JDM EP3 – K20A, 212hp dan daya kilas 202Nm

Bukan itu sahaja, komponen-komponen dalaman dan luaran enjin juga berbeza termasuklah “Intake Manifold” dan “Exhaust Extractor”. Haha, mana lah orang UK tak bengang, buat kt UK, tapi UK dapat spesifikasi lagi rendah.

Bahagian dalaman juga berbeza untuk model JDM dan EDM ini. Model JDM dapat kerusi Recaro, model EDM cuma kerusi biasa je. Hahaha. Namun, keunikan Honda EP3 Type R ini iaitu tombol gearnya adalah sama bagi kedua-dua model.

Bagi saya, memang unik. Tapi macam biasa, subjektif. Ada yang suka, ada juga yang benci. Seterusnya stering MOMO digunakan sebagai ciri asas. Manakala sistem kawalan stering pula diberikan kepada motor elektrik dan bukannya hidraulik.

Seterusnya kita pergi pada sistem transmisi.

Sama ke tidak ? Jawapannya tidak sama. Haha ! Kena lagi UK. Berikut merupakan nisbah gear bagi kedua-dua model JDM dan EDM EP3 Type R ini :-

EDM

  • Gear 1 : 3.266
  • Gear 2 : 2.13
  • Gear 3 : 1.517
  • Gear 4 : 1.147
  • Gear 5 : 0.921
  • Gear 6 0.738
  • Gear Gostan : 3.583

JDM

  • Gear 1 : 3.266
  • Gear 2 : 2.13
  • Gear 3 : 1.157
  • Gear 4 : 1.212
  • Gear 5 : 0.972
  • Gear 6 : 0.78
  • Gear Gostan : 3.583

Perbezaan dapat dilihat pada nisbah gear 4,5 dan 6. Pihak Honda menyatakan bahawa model EDM mempunyai nisbah gear yang lebih “Relax” berbanding JDM yang agresif.

Kuasa daripada kotak gear ini seterusnya dihantar ke unit “Helical LSD” dan seterusnya ke tayar. Oh lupa ! Model EDM tiada LSD. Hahahahaha ! Berjoget kereta beb bila tarik penangan “Torque Steer”

Kita pergi pula pada sistem suspensi.

Jangan risau, kali ini sama bagi kedua-dua model. Jentera ini dilengkapi dengan topang MacPherson bagi bahagian hadapan dan Double Wishbone di belakang.

Dan akibat penggunaan topan MacPherson ini juga lah jentera ini mendapat kritikan hebat disebabkan masalah “Understeer” ketika mengambil selekoh dalam keadaan laju. Seterusnya, tayar yang digunakan adalah bersaiz 205/45R17 untuk keempat-empat biji tayar.

Untuk sistem keselamatan, jentera ini dilengkapi dengan sistem beg udara dan juga ABS beserta EBD sebagai bantuan sistem brek.

Pada tahun 2003, pihak Honda mengeluarkan versi 30th Anniversary Edition. Model ini mendapat ciri-ciri tambahan seperti berikut :-

  • RECARO Bucket Seat
  • Cermin privasi
  • Stering MOMO yang dibaluti kulit
  • Kemasan dalaman berwarna merah
  • Warna baharu iaitu Nighthawk Black, Satin Silver dan Milano Red.

Produksi bagi versi 30th Anniversary Edition ini hanya terhad kepada 300 unit sahaja dan 100 unit untuk setiap warna yang dinyatakan diatas. Haa, model ini adalah untuk pasaran EDM ye.

Pada tahun 2005, Honda mengeluarkan pula versi Premier Edition. Ciri-ciri tambahan adalah seperti berikut :-

  • RECARO Trendline Seat (Dual Tone)
  • Kerusi belakang yang lebih gelap
  • Stering MOMO
  • Karpet berwarna merah
  • Papan pintu yang baru
  • Logo “Type R” ditempa pada angkup brek hadapan.
  • Cermin privasi yang lebih gelap pada cermin belakang

Banyak juga tambahan. Warna yang boleh didapati adalah Milano Res, Nighthawk Black, Cosmic Grey dan Satin Silver. Lebih kurang 30th Anniversary Edition je ni.

Eh, asyik model EDM je dapat pembaharuan, JDM tiada ke ?

Ada Tuan-Tuan. Pada tahun 2004, pihak Honda melancarkan “C Package” kepada bakal pembeli EP3 ini dengan tag harga ¥330,000. Ciri tambahan adalah seperti berikut:-

  • Lampu HID
  • Cermin belakang privasi
  • Penghawa dingin kawalan elektronik

Dari semua penambahbaikan model EDM dan JDM ini, tiada penambahbaikan dilakukan pada enjin dan kotak gear. Sehinggalah ke akhir produksinya pada tahun 2006.

Jadi, dapat disimpulkan di sini, perbezaan dari segi kuasa itu agak ketara bagi kedua-dua model EDM dan JDM ini. Mana taknya, disini saya sertakan contoh :-

  • EDM EP3 – 0-100km/h : 7saat
  • JDM EP3 – 0-100km/h : 6.6saat
  • EDM EP3 – 0-200km/h : 31.8saat
  • JDM EPM – 0-200km/h : 28.3saat

Sangat berbeza bukan. Namun apalah daya, kena lah terima hakikat. Jadi kepada para bakal pembeli EP3 di negara ini, periksa baik-baik bakal jentera anda tu sebenarnya untuk pasaran mana sebelum beli. Ilmu ni.

Kadang-kadang saya pun pelik perangai Honda ni. Hantar komponen ke UK, suruh UK buat, import balik ke Jepun. Tapi takpelah. Mereka lebih tahu. Haha.

Pasaran Eropah pula nganga je lah tengok kilang yang sama buat kedua-dua model EP3 ini memberikan mereka spesifikasi yang lagi rendah. Ini yang dinamakan kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan.

Di Malaysia saya pernah nampak beberapa unit EP3 ada di jalan raya. Tidak tahu siapa pemiliknya. Namun, jika ada diantara pembaca memiliki unit Honda Civic EP3 Type R ini, jaga lah baik-baik.

Biarlah orang cakap tak lawa lah apa lah. Duit anda, kehendak anda, anda yang berkuasa ke atasnya. Bukan orang lain. Kecuali Allah SWT yang maha berkuasa.

GALERI

Google ads
Back to top button