
HONDA CIVIC HYBRID AMERIKA SYARIKAT DIDEDAHKAN, BAMPAR BAHARU, BEZA DARIPADA CIVIC E:HEV
Tahukah anda? Honda CR-V Hybrid merupakan model hibrid terlaris di Amerika Syarikat pada 2023 dengan jumlah 197,317 unit dan menguasai jualan keseluruhan CR-V sebanyak 361,457 unit.
Secara keseluruhannya, jualan model elektrifikasi Honda melonjak lebih tiga kali ganda pada tahun lalu dengan gabungan CR-V dan Accord Hybrid mencecah 293,640 unit.
Jumlah tersebut mewakili lebih satu pertiga daripada jualan keseluruhan Honda pada 2023 sebanyak 1,162,531 unit (tidak termasuk Acura sebanyak 145,655 unit).
Untuk 2024, Honda mahu memperhebatkan lagi penawaran kenderaan elektrifikasi melalui model berikut:
- Acura ZDX (EV)
- Honda Prologue (EV)
- Honda CR-V Fuel Cell Vehicle (FCEV)
- Honda Civic Hybrid
Senarai model yang menarik! CR-V FCEV bukan model baharu sepenuhnya tetapi diasaskan daripada model sedia ada dan menggabungkan teknologi plug-in dan FCEV.
Honda sebelum ini menawarkan dua generasi Clarity (2008 – 2014, 2016 – 2021) yang menggunakan sel bahan api hidrogen.
Penawaran terbaru satu strategi menarik memandangkan CR-V merupakan model yang masyhur. Mungkinkah ini kebangkitan kenderaan elektrik hidrogen?
Gabungan plug-in dan hidrogen dapat membantu dalam menghadapi kekurangan stesen pengisian hidrogen.
Satu lagi yang menarik ialah, Honda terus mendedahkan dua gambar Civic Hybrid 2025 dan juga tanda kembalinya penawaran rangkaian kuasa hibrid untuk model itu di Amerika Syarikat.
Gambar Civic Hybrid varian Sport Touring yang dikongsi tampil dengan bampar depan dan rim baharu serta tayar Pirelli P ZERO.
Civic dengan bampar baharu terlebih dahulu muncul di Tokyo Auto Salon baru-baru ini. Bampar yang dipasang langsung berbeza daripada Civic sedia dan Civic e:HEV (hibrid) pasaran tempatan.
Mungkin juga bampar itu akan diseragamkan dengan varian lain. Honda turut memaklumkan rangkaian kuasa hibrid bakal menjana kedua-dua Civic sedan dan hatchback.
Honda menjangkakan model hibrid akan mewakili sekitar 40 peratus jualan keseluruhan Civic seterusnya melonjakkan lagi pencapaian prestasi jualan kenderaan hibrid Honda.
Sebagai rujukan, Civic e:HEV pasaran tempatan digerakkan enjin 2.0 liter yang menghasilkan 141 kuasa kuda (hp) pada 6,000 rpm dan tork 189Nm.
Motor elektrik mempunyai kuasa 181 hp dan tork 315Nm dari 0 sehingga 2,000 rpm. Enjin 2.0 liter sebenarnya berfungsi sebagai penjana yang membekalkan tenaga kepada bateri.
Berbeza daripada teknologi e-POWER Nissan, enjin Civic masih lagi berfungsi untuk menggerakkan roda pada keadaan tertentu.