Artikel Pilihan

HONDA CRX Si KEMBALI KE PANGKUAN KELUARGA PEMILIK ASAL SELEPAS 20 TAHUN – SYAHDU SUNGGUH

Sebuah Honda CRX Si 1990 merupakan kereta kebanggaan Anthony Pedatella sewaktu beliau dan bakal isteri, Marisa mula berkenalan. Ia berlaku ketika kemuncak kegilaan budaya modifikasi kereta. Zaman Wira-Evo dan Kancil-Mira kalau kat Malaysia. CRX dengan enjin twin cam ZC merupakan antara jentera paling hot ketika itu. Apatah lagi dengan sistem stereo Clarion dan warna oren berkilauan.

Sayangnya selepas berubah tangga dan mula menimang cahaya mata, mereka terpaksa menjual kereta tersebut. Dua-pintu bang mana selesa lagi dah. Kemudian pada tahun 2011, Anthony telah meninggal dunia akibat kanser pada usia 36 tahun. Sepuluh tahun kemudian, keluarga Anthony berhasrat untuk mendapatkan kembali kereta tersebut tapi ia sudah 20 tahun dijual.

Keinginan tersebut muncul selepas sepupu Anthony, Julia Riviglia terserempak dengan sebuah CRX yang masih dalam keadaan baik di atas jalan. Dia teringat akan pengalaman menaiki kereta Anthony ketika masih kecil dan terlintas kemungkinan kereta milik Anthony yang telah dijual mungkn juga masih dalam keadaan baik.

Idea tersebut dikongsi di media sosial khususnya kumpulan-kumpulan peminat Honda ataupun biasa kita kenali sebagai bangsa H. Nasihat diterima ialah memulakan carian berdasarkan nombor pengenalan ataupun VIN kereta tersebut.

Dalam satu temubual bersama media tempatan Marisa menyatakan yang berlias masih ingat dengan beberapa ciri kereta tersebut seperti kemasan kulit, tombol gear dan pemain stereo yang digunakan. Bunyi pun dia kenal kalau dengar. Malah kalau pun mereka tidak berpeluang untuk memilikinya kembali, sudah mencukupi untuk melihatnya sendiri di depan mata mereka.

Selepas tiga hari berita tersebar, mereka berjaya menemui lelaki yang memiliki kereta tersebut selepas Anthony. Ia merupakan kereta pertama beliau tapi kereta tersebut telah dicat semula kepada warna biru muda dan kemudian telah dijual semula pada tahun 2015.

Pemilik kali ini telah mengecat ruangan enjin kepada warna hijau muda (popular trend ni masa tu kan?). Sayangnya pemilik yang ini tidak diketahui namanya dan dikatakan beliau bercadang untuk menceraikan kereta ini sebagai alat ganti. Harapan tak berapa baik untuk keluarga Pedatella.

Gabungan warna biru dan ruangan enjin warna hijau mengingatkan seorang lagi sumber kepada kereta yang pernah dimiliki oleh ahli keluarga beliau. Beliau cuma memberitahu yang kereta tersebut telah dijual kepada sebuah premis berhampiran simpang jalan di bandar berdekatan.

Seseorang kemudian membuat carian dengan aplikasi Google Earth dan berjaya menemuai lokasi kereta tersebut. Ia rupa-rupanya berada tersadai di belakang sebuah bengkel servis kereta.

Marisa dan anak perempuannya segera berkejar untuk melihat kereta tersebut. Cuma kali ini tayar pun dah tak ada. Walaupun belum menyemak nombor VIN tapi beliau dapat mengecam kereta yang pernah dimiliki suaminya. Malah pelekat ‘Eibach’ yang ditampal Anthony pun masih ada.

Pemilik kedai tersebut sebaik mendengar kisah Marisa terus memberikan kereta tersebut sebagai hadiah. Baik betul hati tokey bengkel tu. Murah sangat kot CRX ni kat sana.

Kereta dah berjaya ditemui tapi bukan satu kerja mudah nak kembalikannya kepada keadaan asal. Sekali lagi komuniti H di sana berganding bahu menolong Marisa dalam proses restorasi.

Seorang lelaki pemurah menjual semua alat ganti yang diperlukan kepada Marisa dan hasil jualannya didermakan pula untuk kebajikan pesakit kanser. Ramai lagi yang turut menyumbang alat ganti dan ada yang bermurah hati memberikan khidmat trak tunda secara percuma.

Rakan-rakan di bengkel tempat kerja Anthony turut membantu dan mengorbankan masa lapang walaupun ketika pandemik melanda dunia.

Akhirnya selepas 2 setengah tahun sejak keluarga ini memulakan pencarian mereka, Honda CRX ini berjaya dikembalikan kepada keadaan asal dan Marisa berjaya memandunya pulang ke rumah mereka.

Bukan itu sahaja, kereta ini juga telah memenangi anugerah Best in Show dalam salah satu acara Honda di Toronto. Power siak.

Kita mungkin dah terbiasa mendengar berita-berita negatif tentang bangsa H ini tapi cerita macam ni mungkin boleh mengingatkan kita yang dalam sebatang pokok takkanlah semua buahnya buruk. Ada je yang positif cuma persepsi kita sendiri yang kadang-kala membuatkan semua benda nampak negatif.

Sama macam manusia, setiap buah kereta ada ceritanya yang tersendiri. Tinggal lagi menarik ke tak je? Korang ada sejarah kereta yang menarik tak?

Kredit japanesenostalgiccar.com

Google ads
Back to top button