Artikel PilihanBuletin

KERANA KEHILANGAN KUNCI 20 TAHUN LALU, MERCEDES SL500 INI KEKAL MACAM KERETA BARU

Anda pernah kehilangan kunci kereta? Kalau pernah pun biasanya tiada masalah kerana kereta baharu biasanya disertakan dengan dua set kunci. Kalau beli terpakai lain pula ceritanya, kalau nasib baik dapat dua set dan kalau tidak bernasib baik dapat satu je kunci.

Bagi kereta-kereta mewah seperti Mercedes-Benz pula anda boleh menempah set anak kunci baharu melalui pengedar berdaftar kerana mereka biasanya menyimpan semua data berkenaan kereta untuk rujukan di kemudian hari.

Cerita berkenaan seorang wanita di England ini pula agak pelik kerana beliau telah membiarkan sebuah Mercedes SL500 baharu beliau berada di dalam garaj selama 20 tahun kerana kehilangan semua kuncinya.

BACA: HONDA S2000 INI SEBENARNYA SEBUAH KERETA BARU!

BACA: INI LAYANAN YANG DITERIMA KETIKA MASUK ASTON MARTIN KL

Ini mesti orang kaya punya hal, kalau macam kita di Malaysia ni, kunci Myvi hilang pun dan bising dalam semua laman sosial. Siap minta tolong viralkan lagi. Nasib baik kereta tersebut diletakkan di dalam garaj, kalau di tepi jalan atau di tempat terbuka maunya reput kereta tu.

Untuk info, Mercedes SL500 (R129) merupakan sebuah model Grand Tourer Sports keluaran Mercedes dengan ciri-ciri termaju ketika itu seperti kotak gear 5-kelajuan automatik 5G-Tronic.

Ia dikeluarkan dari tahun 1989 sehingga 2001 dengan 213,089 unit dipasarkan di seluruh dunia. Terdapat pilihan coupe dan juga roadster. Ini juga merupakan antara Mercedes yang tercantik pernah dihasilkan.

Mercedes SL500 berwarna merah terang tersebut telah dihadiahkan seseorang kepada wanita tersebut 20 tahun dulu sebagai hadiah hari jadi. Selepas membawa pulang kereta itu kuncinya telah hilang sehingga ke hari ini.

Tak tahulah sama ada wanita ni mabuk ataupun tidak ketika itu sampai tak ingat mana kunci tersebut diletakkan. Tetapi jika dilihat kepada kedudukan rumah beliau yang terletak di Knightsbridge, di bahagian tengah London, wanita ini bukan calang-calang orangnya. Rumahnya juga sudah tentu bukan bersaiz 600 kaki seperti kebanyakan kondo di KL yang dijual pada harga mencarut.

Odometer digital SL500 itu juga cuma menunjukkan jarak 75 batu perjalanan (bersamaan dengan lebih kurang 120 kilometer). Cukup rendah bagi sebuah kereta berusia 20 tahun. Bukan setakat cakap sahaja, pemiliknya memang memang mempunyai segala dokumen yang mengesahkan yang perbatuan kereta tersebut adalah tulin.

Disebabkan sudah tersadai di dalam garaj selama hampir dua dekad, SL500 dengan rekaan badan R129 itu juga perlu direstorasi kembali secara ‘ringan’. Ini bermaksud menggantikan semua komponen yang dimamah usia seperti gasket-gasket dan semua bendalir dalam enjin. Ia juga memerlukan rawatan spa untuk menghilangkan debu yang sudah melekat sejak hampir 20 tahun lepas.

Kereta itu kini ditawarkan untuk lelongan pada satu acara yang dianjurkan oleh Coys Spring Classics dengan beberapa batu lagi ditambah pada perbatuannya menjadikan ianya kini sekitar 80 batu. Berdasarkan nilai wang semasa, ramai yang menantikan keputusan sama ada kereta ini memang berbaloi disimpan selama ini berbanding menggunakannya seperti kereta lain.

Chris Routledge, CEO Coys berkata, sebuah SL500 tahun 1996 yang sama seperti model ini dan selalu dipandu biasanya mampu terjual dengan harga sekitar £6200 ke £8700, tetapi disebabkan model ini dikira sebuah model baharu (macam orimotor la jugak), harganya dikatakan mampu melonjak sehingga sepuluh kali ganda berbanding model biasa. Chris juga berseloroh dengan mengatakan sesiapa yang berjaya membida kereta ini akan mendapat set kunci yang baharu.

Kelakar kan Chris?

SUMBER AUTOBLOG

 

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button