VW GOLF R EDISI 20 TAHUN – R TERPANTAS DI LITAR NURBURGRING!
Volkswagen Golf R edisi ulang tahun yang ke-20 sebenarnya telah pun membuat kemunculan pada bulan Mei yang lalu.
Ia dilancarkan bersempena dengan ulang tahun pengenalan model Golf R32 – model pertama yang memakai lencana R.
Model edisi ulang tahun ke-20 itu kini menempa namanya sebagai model R yang paling pantas di Litar Nurburgring, terima kasih kepada nadi 2.0 TSI yang mampu menghamburkan kuasa 328 hp.
Dengan catatan masa 7:47.31 minit, Golf R edisi 20 tahun itu berjaya mengalahkan rekod pusingan yang dicatatkan oleh model Golf R standard (315 hp) dengan kelebihan empat saat.
Selain daripada naiktaraf kuasa enjin, Golf R 20 Years turut diberikan naiktaraf perisian yang mampu meningkatkan kelajuan tertinggi kepada 270 km/j, pakej R-Performance, serta profil pemanduan Special dan Drift yang direka khusus untuk model ini.
Menurut pemandu uji Volkswagen R yang juga pelumba touring Benjamin Leuchter berkata, “dengan kereta ini, saya boleh memandu dengan agresif di Litar Nurburgring, dan hentian seterusnya mungkin sekali kedai roti atau kedai DIY.
“Volkswagen Golf R ini sememangnya sebuah kereta all-rounder yang boleh buat apa sahaja,” Leuchter merumuskan pengalamannya di sebalik stereng hot hatch ini.