Buletin

HONDA e MILIK TTJ DIGESER BMW. PERANGAI…

Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Al-Haj Sultan Ibrahim berkongsi insiden kereta elekrik Honda e miliknya digeser oleh sebuah BMW ketika diletakkan di hadapan sebuah kedai roti di Jalan Serampang, Taman Pelangi di Johor Bahru. 

Melalui hantaran di Instagram, Tunku Idris turut berkongsi gambar bahagian keretanya yang tercalar dan gambar kereta yang melanggarnya, selain rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan insiden itu.

Daripada rakaman CCTV yang dikongsi, kejadian berlaku pada jam 2.17 petang ketika pemandu BMW bernombor pendaftaran Singapura itu hendak ke ruang tempat letak kereta yang kosong.

Video berdurasi 60 saat menunjukkan pemandu lelaki keluar daripada BMW dan berlalu pergi melewati kenderaan Tunku Idris tanpa melihat sekiranya berlaku kerosakan atau tidak.

Mengulas kejadian itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, berkata pihaknya mengambil maklum dan laporan polis mengenainya dibuat di Balai Polis Trafik Johor Bahru Selatan.

“Kita akan tunggu hasil siasatan nanti,” katanya. – Berita Harian

Google ads
Back to top button