Motosikal

APRILIA LANCAR SKUTER MAXI SR MAX 250 DI CHINA. MASUK MALAYSIA PLEASE…

Skuter maxi dilihat menjadi penghubung di antara skuter dan motosikal berkuasa tinggi di Eropah dan Asia.

Menggabungkan aspek kemudahan menggunakan skuter dengan prestasi sebuah motosikal, skuter maxi menawarkan ruang penyimpanan barang, selesa dan lebih praktikal berbanding skuter biasa. Sebab itulah hampir semua pengeluar mempunyai sekurang-kurangnya satu model skuter maxi dengan enjin 250cc hingg 350cc.

Jadi, apabila Aprilia memperkenalkan model SR Max 250 bukanlah sesuatu yang mengejutkan. Dibina di atas platform skuter Aprilia sedia ada, ia hadir dengan rekaan yang lebih praktikal dan mementingkan keselesaan untuk tunggangan jarak jauh.

Dari segi prestasi, SR Max 250 dikuasakan oleh enjin bersesaran 244cc dengan sistem penyejukan cecair dan pancitan bahan api yang mampu menjana 25hp dan tork 21.6Nm.


Dari segi gayaan pula, SR Max 250 menampilkan rekaan fairing yang sporty bersama sepasang lampu utama berbentuk tiga segi dan cermin penghadang angin. Pelana yang lebar dan empuk itu pasti selesa dan ruang penyimpanan barangnya cukup untuk memuatkan topi keledar.

Jentera itu juga dilengkapi paparan meter TFT berwarna bersaiz tujuh inci, dua mode tunggangan iaitu Eco dan Sport. Brek cakera depan belakang dilengkapi sistem brek ABS dan kawalan cengkaman agar lebih selamat. Sistem suspensi pula terdiri daripada fork teleskopik di depan dan jenis berkembar untuk roda belakang.

Buat masa ini, Aprilia melancarkan SR Max 250 secara eksklusif untuk pasaran China. Untuk pasaran Asia yang lain, Aprilia memberitahu ia tidak akan dilancarkan dalam masa terdekat.

Skuter maxi itu ditawarkan pada harga AS$3,971 (RM17,700) dan ia dilihat agak berpatutan dengan pelbagai ciri yang ada padanya.

Google ads
Back to top button