Buletin

NAK BELI TOYOTA ALPHARD SINGAPURA RM60K, KENA TIPU PULA RM29.7K

Seorang jurutera dilapor mengalami kerugian hampir RM30,000 selepas ditipu dalam urusan jual beli kereta secara dalam talian.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan E Sundra Rajan, berkata jurutera lelaki berusia 38 tahun itu hanya menyedari dirinya ditipu selepas membuat bayaran sebanyak RM29,700.

Mangsa yang melayari laman Facebook pada 9 Mac lalu tertarik dengan iklan penjualan kereta Toyota Alphard berharga RM60,000 dari Singapura dan ingin membelinya. Suspek kemudian mengarahkan mangsa membuat bayaran deposit 10 peratus, insurans dan cukai jalan.

“Sepanjang tempoh itu sehingga 17 Mac lalu, mangsa membuat pembayaran secara berperingkat ke dalam lima akaun bank berlainan,” katanya.

Selepas jumlah itu dibayar, suspek masih meminta wang daripada mangsa, namun dia tidak berbuat demikian kerana mengesyaki diri ditipu. Mangsa kemudian membuat laporan polis dan sehingga kini masih belum menerima kenderaan ditawarkan itu.

Semakan polis mendapati sudah tiga laporan polis dibuat membabitkan nombor akaun bank digunakan oleh suspek. Dia dikatakan turut menggunakan modus operandi sama bagi menipu orang ramai. 

Menurut Sundra Rajan, terdapat 69 kes diterima Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka sejak 2019 membabitkan kes penipuan penjualan kereta secara dalam talian melibatkan kerugian mencecah RM495,104,20 .

“Setakat ini, kita menerima 16 kes penipuan membabitkan jualan kereta secara dalam talian, manakala 32 kes diterima sepanjang tahun lalu dan 21 kes pada 2019.

“Saya menasihatkan masyarakat berhati-hati dengan tawaran menarik secara dalam talian dan membuat semakan terlebih dulu ke atas nombor telefon atau akaun bank yang meragukan,” katanya. – Berita Harian

Google ads
Back to top button