Buletin

HONDA MALAYSIA AKAN LANCAR CIVIC TYPE-R TAHUN INI?

Sewaktu pelancaran Honda Jazz facelift dan Jazz Hybrid di KLCC semalam, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Katsuto Hayashi mengumumkan bahawa pihaknya akan melancarkan dua lagi model baharu pada tahun ini.

Sebelum ini, Honda Malaysia menyatakan ia bakal melancarkan empat model baharu pada tahun 2017, tetapi jumlah itu telah ditambah menjadi enam model.

Pelancaran model baharu dimulakan dengan Honda BR-V, kemudian Honda City facelift dan semalam Jazz facelift serta Jazz Hybrid. Sebelum diikuti oleh model SUV Honda CR-V yang dijadual dilancar selepas Hari Raya Aidilfitri.

Jadi, apa dua lagi model baharu yang akan dilancarkan itu? Difahamkan model itu ialah jentera berprestasi tinggi iaitu Honda Civic Type-R serba baharu! Jika benar, Malaysia akan menjadi antara negara terawal yang menerima jentera tersebut di pasaran Asia Tenggara.

Honda Malaysia penah membawa masuk Civic Type-R FD2R pada tahun 2007 hingga 2010. Dalam tempoh tersebut, lebih 40 unit telah berjaya dijual.

Civic Type-R generasi terkini sememangnya menjadi antara model yang sangat ditunggu-tunggu. Bukan sahaja oleh peminatnya di Malaysia, malah di seluruh dunia. Prestasinya tidak dapat disangkal lagi. Buktinya, pada April lalu, Civic Type-R menjadi model pacuan roda hadapan paling laju di litar lagenda Jerman, Nurburgring.

Ia dilapor berjaya mencatat masa 7 minit 43.80 saat,  hampir 7 saat lebih pantas berbanding Type-R generasi sebelumnya. Selain 3 saat lebih laju daripada rekod FWD sebelum ini.

Jentera tersebut dijana oleh enjin berprestasi tinggi VTEC Turbo bersesaran 2.0 liter yang mampu menghasilkan kuasa mencecah 306hp.

BACA: HONDA CIVIC TYPE-R 2017 – KERETA PRODUKSI RODA HADAPAN TERPANTAS DI LITAR NURBURGRING

Jika benar Civic Type-R dilancarkan di Malaysia, Abang Japar mengangarkan harganya mungkin sekitar RM250,000 hingga RM300,000 seunit.

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button