
HONDA ODYSSEY DI CHINA DIKEMAS KINI – HADIR DENGAN SKRIN INFOTAINMEN DAN CIRI LEBIH MEWAH
Honda memperkenalkan versi terkini MPV Odyssey untuk pasaran China dengan beberapa penambahbaikan tertumpu kepada keselesaan kabin dan teknologi, termasuk tempat duduk urut, peti sejuk terbina dalam serta sistem infotainmen yang dipertingkatkan.
Model yang dihasilkan oleh usaha sama GAC Honda itu kini ditawarkan pada harga bermula 184,800 yuan (sekitar RM108,000), lebih tinggi berbanding model asas terdahulu yang dijual pada harga 175,900 yuan.
Perubahan paling ketara ialah penamatan varian asas lama yang sebelum ini dikritik kerana tidak dilengkapi skrin infotainmen, kawalan jelajah, kamera undur dan beberapa ciri lazim ditemui pada kenderaan moden dalam julat harga yang sama.

Bagi model baharu, Honda memperkenalkan varian Pro sebagai model permulaan yang kini menerima skrin sentuh bersaiz 12.3-inci. Walaupun ia tidak menyokong fungsi navigasi atau arahan suara, sistem tersebut boleh dihubungkan dengan telefon pintar menerusi Apple CarPlay, Huawei HiCar dan Carlink.
Di bahagian kabin, Odyssey kini boleh dilengkapi tempat duduk hadapan dan barisan kedua dengan fungsi pemanas, pengudaraan serta urutan sebagai pilihan tambahan. Stereng berbalut kulit pula menjadi kelengkapan standard untuk semua varian.
Honda turut menawarkan beberapa ciri premium seperti peti sejuk terbina dalam, sistem kamera 720 darjah, cermin pandang belakang digital serta skrin hiburan siling untuk penumpang belakang. Ciri-ciri sebegini semakin popular dalam kalangan MPV dan SUV elektrik tempatan di China.

Dari segi saiz, Odyssey mempunyai panjang 4,861mm, lebar 1,820mm dan tinggi 1,712mm, manakala jarak roda mencecah 2,900mm. Ruang dalaman menempatkan tujuh penumpang dengan susun atur tempat duduk 2+2+3.
Sistem suspensi menggunakan konfigurasi MacPherson di hadapan dan torsion beam di belakang. Berat kenderaan pula berada antara 1,860 hingga 1,973 kilogram bergantung kepada varian.
Kuasa masih disalurkan oleh rangkaian kuasa hibrid e:HEV yang menggabungkan enjin petrol 2.0 liter aspirasi semula jadi bersama motor elektrik. Sistem tersebut menghasilkan kuasa gabungan 212hp dan dipadankan dengan transmisi E-CVT.

Penggunaan bahan api mengikut kitaran WLTC berada antara 5.88 hingga 6.17 liter bagi setiap 100 kilometer.
Dari sudut jualan, Honda Odyssey mencatatkan purata sekitar 800 unit sebulan dalam tempoh empat bulan kebelakangan ini di China.
Dengan penambahan pelbagai ciri baharu serta pengenalan model asas yang lebih lengkap, Honda dijangka berharap Odyssey mampu menarik lebih ramai pembeli dalam segmen MPV keluarga.


