Buletin

HONDA THAILAND LANCAR CR-V DENGAN ENJIN DIESEL TURBO 1.6L i-DTEC – BERMULA RM179,031

Honda Automobile (Thailand) Co., Ltd. hari ini memperkenalkan Honda CR-V serba baharu yang dilengkapi enjin 1.6L i-DTEC Diese Turbo buat pertama kalinya. Enjin baharu itu dipadankan dengan transmisi automatik sembilan kelajuan Shift-by-Wire.  

Enjin itu mampu menjana kuasa maksimum 160hp pada 4,000rpm dan tork puncak 350Nm pada 2,000 rpm. Ia menawarkan pecutan dan penjimatan sehingga 18.9km/l dengan kadar emisi hanya 141 g/km.

Selain enjin diesel turbo, CR-V turut hadir dengan varian enjin petrol empat silinder 2.4L DOHC i-VTEC berkuasa 173hp dan tork 224Nm. Enjin yang sesuai untuk bahan api E85 itu bagaimanapun menggunakan kotak gear CVT.

Varian dan harga CR-V baharu di Thailand:

  • Diesel Turbo EL 4WD               1,699,000 baht (RM217,388)
  • Diesel Turbo E                           1,549,000 baht (RM198,195)
  • 2.4 EL 4WD (petrol)                  1,549,000 baht (RM198,205)
  • 2.4 E             (petrol)                  1,399,000 baht (RM179,031)

“Thailand merupakan salah sebuah negara strategik Honda. Ini kerana ia menjadi pusat eksport kenderaan dan alat ganti terbesar kami di rantau Asia dan Oceania. Thailand menjadi negara pertama di luar Amerika Utara dan rantau ini yang melancarkan Honda CR-V serba baharu,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Asian Honda Motor Co., Ltd, Noriaki Abe.

CR-V sememangnya menjadi salah satu model penting buat Honda dengan lebih 8.7 juta unit telah terjual di seluruh dunia. SUV tersebut dipasang di kilang Honda di Ayutthaya. Honda merancang untuk mengeksport sebanyak 75,000 unit CBU dan CKD Honda CR-V setahun.

Di Thailand, Honda menguasai lebih 60 peratus pasaran SUV menerusi rangkaian model yang mampu memenuhi keperluan setiap segmen pelanggannya.

CR-V generasi kelima itu hadir dengan rekaan luaran yang lebih sedar dan mewah. Ia kini dipasang dengan lampu utama, lampu belakang dan lampu nyalaan siang (DRL) LED, gril hadapan rekaan baru serta rim aluminium yang sporty.

Untuk ruang kabin, perubahan paling besar pastinya penambahan baris tempat duduk ketiga. Kesemua tempat duduk itu menawarkan pelbagai konfigurasi untuk kemudahan pengguna. Keselesaan penumpang turut dipertingkatkan melalui corong pendingin hawa pada baris tempat duduk kedua dan ketiga.

Kemewahan jentera itu diserlahkan menerusi penggunaan kemasan kayu hitam berkilat pada konsol tengahnya. Tidak ketinggalan ialah pendingin jahawa dua zon, paparan audio dengan skrin sentuh bersaiz tujuh inci bersama ciri Apple CarPlay, meter TFT, Paparan Multi-Informasi dan banyak lagi.

CR-V ialah salah satu model yang akan dilancarkan oleh Honda Malaysia pada tahun ini. Adakah anda rasa varian diesel ini bakal ditawarkan kepada pengguna tempatan? Sama-sama kita tunggu.

BACA: HONDA THAILAND LANCAR CIVIC HATCHBACK – RM147,360 SEUNIT, 1.5 LITER TURBO SAHAJA

BACA: TEMPAHAN HONDA BR-V CECAH 8,500 UNIT – PELANGGAN DAPAT KERETA SELEWAT APRIL

Google ads
Back to top button