Motosikal

JENTERA TOURER MEWAH BMW K 1600 GT – RM160K!

BMW Motorrad Malaysia semalam memperkenalkan motosikal mewah dan berkuasa yang dihasilkan sepenuhnya sebagai sebuah jentera tourer, BMW K 1600 GT baharu.

Meneruskan DNA BMW Motorrad iaitu Making Life a Ride, jentera tersebut dibekalkan dengan enjin enam silinder sebaris paling kompak dalam siri produksi motosikal BMW setakat ini.

Ia mampu menghasilkan kuasa sehingga 118 kW (160 hp) pada 7,750rpm dan tork maksimum 175Nm pada 5,250rpm, paling tinggi dalam kelasnya. Dengan berat 102.6kg, enjin enam silinder pada motosikal premium itu mengekalkan kedudukannya selaku enjin siri produksi enam silinder paling ringan untuk motosikal melebihi 1,000cc.

Direka untuk memenuhi piawaian pencemaran EU4, BMW K 1600 GT hadir dengan pemetaan enjin yang baru, satu sistem bahan api dengan tabung karbon untuk ventilasi tangki minyak dan satu sistem ekzos bersama pengubah bermangkin (catalytic converter) yang telah diubah suai.

Bagi memudahkan tunggangan, BMW K 1600 GT dilengkapi dengan fungsi undur atasu dikenali sebagai Reverse Assist. Anda hanya perlu menekan satu butang pada sebelah kiri bar hendal. Memang berguna untuk motosikal yang besar dan berat seperti ini.

Tiga mode tunggangan

BMW K 1600 GT menawarkan tiga mode tunggangan iaitu Rain, Road dan Dynamic. Ia boleh diaktifkan secara langsung dengan hanya menekan butang pada sebelah kanan bar hendal.

Sekali gus membolehkan penunggang mengadaptasikan motosikal ini dengan pelbagai keperluan tunggangan dan kondisi yang berbeza. Ini termasuklah semasa melalui lebuh raya, menunggang di atas permukaan jalan yang licin serta untuk tunggangan lebih sporty dan dinamik.

Untuk memaksimum aspek keselamatan, setiap mode ini digabungkan dengan Dynamic Traction Control (DTC) yang berfungsi meningkatkan aspek ketepatan ciri kawalan cengkamannya.

Ciri Shift Assistant Pro

Kini dilengkapi sistem Shift Assistant Pro, BMW K 1600 GT baharu membolehkan penunggang menaik atau menurunkan kedudukan gear tanpa perlu melibatkan klac atau injap pendikit dalam julat beban serta kelajuan enjin tertentu.

Memandangkan kebanyakan urusan penukaran gear itu boleh dilakukan menerusi Shift Assistant Pro, ia bukan sahaja dapat meningkatkan keselesaan penunggang, malah menyerlahkan prestasi dinamiknya. Dengan Shift Assistant Pro, tempoh penukaran gear dapat dikurangkan secara signifikan berbanding menggunakan klac.

Suspensi electronik Dynamic ESA

Dilengkapi dengan Dynamic Electronic Suspension Adaptation (ESA) bersama penukaran talaan “Road” dan “Dynamic”,  motosikal baharu ini menjanjikan kualiti tunggangan yang selesa dan lebih baik berbanding model sebelumnya.

Dalam mode “Road”, adaptasi peredam adalah automatik sepenuhnya untuk memberi keselesaan maksimum serta cengkaman di atas apa jua bentuk permukaan jalan raya. Hasilnya adalah kuasa redaman yang optimum untuk semua kondisi tunggangan tanpa mengira beban yang dibawa. Manakala talaan “Dynamic” pula mengaktifkan set-up peredam yang lebih keras.

Sistem Keyless Ride dan Hill Start Control

Para penunggang kini boleh menghidupkan enjin BMW K 1600 GT dengan hanya menekan butang atau melalui satu transponder sebagai sistem sandaran. Melalui transponder tersebut, motosikal boleh dihidupkan atau dibuka kuncinya tanpa perlu memasukkan kunci untuk memberi lebih kemudahan.

Sebagai tambahan, ciri Hill Start Control memudahkan tunggangan ketika menaiki laluan yang curam. Ciri baru ini membantu mengekalkan tujahan kuasa untuk mendaki, biarpun apabila penunggang melepaskan tuil brek.

BMW K 1600 GT didatangkan dengan pilihan skim warna yang baru. Warna hitam metalik (Black Storm Metallic) dan merah metalik (Mars Red Metallic) menyerlahkan komponen-komponen teknikal serta karekter lincah motosikal ini.

Manakala warna biru metalik (Lupine Blue Metallic) dengan enjin diwarnakan hitam pula membuktikan keupayaan dinamik BMW K 1600 GT baharu. Imej sebuah jentera touring yang dinamik dilengkapkan lagi dengan angkup brek berwarna emas dan cermin penghadang angin sport yang lebih kecil.

Harga BMW K 1600 GT dengan GST (tidak termasuk caj-caj di atas jalan) ialah RM159, 900 seunit.

BACA: TOPI KELEDAR MODEN & RETRO BMW MOTORRAD 2017

BACA: BMW MOTORRAD BAKAL HASILKAN MOTOSIKAL DENGAN KERANGKA GENTIAN KARBON

GALERI

Google ads
Back to top button