Buletin

HONDA: “THE LAST SAMURAI” MAHU TERUS KEKAL SOLO

Honda Motor Co. di Jepun kini sudah menjadi sebuah syarikat yang unik. Ini kerana mereka adalah satu-satunya syarikat permotoran yang tidak bergabung dengan mana-mana syarikat lain. Dengan kata lain mereka mahu kekal bujang sampai bila-bila.

Toyota baru sahaja memasukkan Suzuki sebagai rakan niaga mereka dan Nissan pula baru sahaja mengambil alih Mitsubishi dengan pembelian sejumlah saham yang besar. Honda pula masih kekal dengan status solo dalam arena pengeluar kereta yang semakin mencabar.

CEO Honda, Takahiro Hachigo menyatakan yang Honda sememangnya berpuas hati dengan keadaan mereka sekarang. Mereka mencatatkan hampir lima juta hasil jualan kenderaan di seluruh dunia. Suatu angka yang menakjubkan walaupun saingan-saingan mereka jauh di hadapan dengan angka jualan yang menghampiri satu juta unit setahun.

Honda bagaimanapun tetap akan bekerjasama dengan mana-mana syarikat asalkan sahaja ia menawarkan keputusan menang-menang bagi kedua-dua pihak. Bagaimanapun trend semasa yang menyaksikan banyak syarikat bergabung sedikit pun tidak menarik minat Honda untuk ke arah itu.

Sambung beliau lagi, mereka langsung tidak mempunyai aspirasi untuk mencapai sasaran jualan sepuluh juta unit kenderaan setahun. Beliau merujuk kepada saingan mereka yang hampir mencapaai sasaran tersebut seperti Toyota Motor Corp, General Motors, Volkswagen dan Pakatan Renault-Nissan (yang sekarang sudah menguasai Mitsubishi Motor Corp).

KEMPEN BAIK PULIH CVT HONDA CITY & JAZZ

Hachigo juga menegaskan yang mereka adalah syarikat yang berbeza dan mempunyai sasaran yang berbeza. Mereka ingin terus kekal dengan jualan sekitar lima juta unit setahun. Mereka juga tidak merancang untuk menyertai mana-mana syarikat ataupun pakatan luar.

Ini sememangnya taruhan yang besar buat Honda, yang mahukan kebebasan menentukan hala tuju syarikat dan model-model yang akan dikeluarkan dengan tidak terikat kepada mana-mana syarikat induk. Ia sudah menjadi sebahagian daripada DNA syarikat.

Kos untuk menghasilkan kenderaan pada masa hadapan sememangnya besar. Antaranya ialah modal R&D untuk enjin berkuasa elektrik, sistem pemanduan pintar dan teknologi maklumat yang sememangnya bukan kecil. Ini memaksa kebanyakan syarikat bergabung untuk menyerap kos sebanyak mungkin bagi mengurangkan bebanan kewangan.

Hachigo juga menyatakan Honda menjangkakan model-model kereta elektrik, termasuk hibrid dan plug-in keluaran mereka akan menguasai dua pertiga pasaran Honda di Amerika Syarikat. Sasaran ini memerlukan pelaburan yang sangat besar dari sebuah syarikat tunggal seperti Honda.

Malah syarikat gergasi seperti Toyota, merancang untuk melaburkan kos yang besar untuk R&D pada tahun hadapan, melebihi 55 peratus perancangan Honda. Mereka terpaksa melakukannya kerana saingan semakin sengit. Malah Toyota juga telah berbincang dengan Suzuki untuk berkongsi kos yang semakin menggunung tinggi.

KENAPA RAMAI SANGAT NAK BELI HONDA HR-V?

Akio Toyoda, CEO Toyota berkata, “kita mesti mempunyai kemampuan untuk bertindak balas terhadap persekitaran kita untuk kekal bersaing. Sememangnya terdapat kekangan dari segi kewangan jika anda cuma berseorangan.”

Gabungan Toyota dan Suzuki telah memisahkan Honda daripada dua pakatan yang besar. Di bawah sayap Toyota adalah syarikat-syarikat seperti Subaru, Mazda, Hino, Daihatsu, Isuzu dan terbaru, Suzuki.

Pakatan yang satu lagi ialah Renault, Nissan, Daimler, AutoVaz dan terbaru ialah Mitsubishi. Kedua-dua pakatan ini merekodkan hasil jualan hampir sepuluh juta unit setahun. Untuk rekod, Honda pula cuma menjual 4.7 unit kenderaan setahun.

Hachigo juga berkata, gabungan Toyota dan Suzuki akan memaksa Honda mengeluarkan  perancangan strategik terbaru khususnya untuk pasaran Jepun yang cukup mencabar. Segmen kereta bersaiz mini menyaksikan Honda dan Suzuki bersaing cukup sengit.

Honda menyatakan yang mereka bukan hanya ingin meningkatkan angka jualan semata-mata. Apa yang penting ialah meningkatkan mutu produk bagi memastikan angka jualan dapat ditingkatkan.

HONDA NSX – INI BARU LEGEND!

Tetapi Honda bukan berseorangan sepenuhnya. Mereka juga sedang bekerjasama dengan General Motors untuk menghasilkan teknologi sel bahan api  hidrogen untuk kegunaan dalam tahun 2020.

Dalam era sebelum ini, Honda pernah membekalkan enjin V6 untuk General Motors, bekerjasama dengan Isuzu sekitar tahun 1990 dan cuba menjalikan kerjasama dengan syarikat Rover. Mereka tidak kisah bekerjasama dalam projek-projek tertentu tetapi untuk menggabungkan dua syarikat secara total, adalah tidak mungkin.

Honda cukup menghargai kebebasan mereka. Malah selain daripada Toyota, Honda juga adalah satu daripada syarikat kereta Jepun yang tidak pernah menyerahkan saham mereka kepada syarikat pesaing.

Honda juga cukup berbangga dengan produk mereka bermula daripada jentera pemotong rumput, pembersih salji, motorbot dan terbaru, jet eksekutif. Ia merupakan lambang kejayaan dan melayakkan Honda menyandang gelaran Samurai Jepun yang terakhir.

Google ads
Back to top button