BuletinMotosikal

HONG LEONG YAMAHA LANCAR MODEL BARU PADA 15 JANUARI – ADAKAH NVX 155?

Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) menerusi laman facebook rasminya memaparkan sekeping foto teaser motosikal baru yang bakal mereka lancarkan pada hujung minggu ini.

Pihak media sudahpun menerima jemputan rasmi bagi majlis yang akan berlangsung di pusat peranginan Genting Highland, Pahang. Namun, kami tidak dimaklumkan model apa, tetapi menerusi sekeping gambar di atas kami jangka ia sebuah model automatik.

Di bar hendal sebelah kiri agak jelas bentuk bayang-bayang reka bentuk lever (tuil) yang mana untuk bentuk kepala sebegitu, tidak mungkin ianya sebuah motosikal naked dengan klac. Ia mesti sebuah motosikal dengan fairing.

aerox-155-mekanika-2

Jadi pilihan yang ada ialah kapcai atau skuter. Berdasarkan model semasa, tiada model kapcai (dengan klac) yang belum ada dalam koleksi HLYM. Y15ZR dan Y125ZR sudah lengkap dalam senarai jualan. Jadi apabila kita pendekkan lagi calon yang tinggal hanyalah skuter.

Dari bentuk kepala depan dan fairing yang terselindung, kami sangat yakin ia adalah Yamaha NVX 155 atau dikenali dengan Aerox yang baru sahaja diumumkan harganya di Indonesia beberapa hari lepas.

BACA: INDONESIA PERKENAL AEROX DAN TRICITY

BACA: NVX DIPERKENALKAN DI MOTOGP SEPANG

Di Indonesia, NVX 155 dijual pada pada harga bermula RM7,330 dengan tiga varian berbeza iaitu Aerox 155VVA, Aerox 155VVA S Version dan Aerox 155VVA R Version. Ketiga-tiga varian itu dibezakan menerusi aplikasi brek ABS pada S Version dan suspensi belakang jenis sub tank untuk R Version.

Jika HLYM melancarkan NVX 155 ke pasaran tempatan, ia menambah ahli keluarga skuter automatik kepada lima pilihan kesemuanya. Model semasa HLYM dalam kategori ini ialah Ego Avantiz, Ego S, Ego LC dan NMAX.

nvx-c

NVX adalah varian sporty NMAX. Ia berkongsi kerangka dan enjin Blue Core yang sama dengan NMAX 155cc. Berbeza dengan NMAX sebagai tipikal skuter urban kecil moden, NVX pula adalah versi sporty dengan pelbagai ciri tambahan yang menarik. Antaranya ialah sistem penghidup tanpa kunci (keyless) dan paparan LCD pada instrumen 5.6 inci dengan pelbagai info.

NVX juga dipasangkan dengan tayar yang lebih lebar – 140/14, antara yang terbesar dalam kategorinya. Tangki bahan apinya berkapasiti 4.6 liter sementara lampu utama dan belakang menggunakan LED sepenuhnya.

Jika mengikut jadual asal, sudah hampir pasti HLYM akan perkenalkan NVX 155 ke pasaran tempatan. Ironinya, debut global skuter ini ialah di MotoGP di Sepang tahun lalu. Sewaktu pelancaran tersebut, memang dimaklumkan bahawa Indonesia akan mendapatnya terlebih dahulu, diikuti Thailand, Vietnam dan Malaysia pada awal 2017.

 

 

Google ads
Back to top button