
EICMA2026: ZONTES 552-H, 552-G DILANCARKAN, MASUK MALAYSIA 2027
Baru-baru ini kami telah dibawa ke EICMA 2026 oleh Eurotech Group (ETG) bagi menyaksikan dengan lebih dekat tawaran motosikal Zontes bagi tahun 2027.
Menariknya, kami berpeluang menyaksikan dengan lebih dekat model 552 serba baharu antaranya 552-H dan 552-G yang disahkan akan masuk Malaysia pada suku kedua 2027.

Seperti yang kami laporkan sebelum ini, 552 adalah model baharu skuter maxi dari Zontes yang dikuasakan enjin dua silinder 531cc dan berupaya menghasilkan 47.6p pada 7,250rpm dan 56Nm pada 5,500rpm.
Enjin tersebut dilengkapi dengan dua balancer shaft yang bertujuan mengurangkan getaran dan memastikan aliran kuasa yang lancar pada rpm rendah. Zontes turut mengguna pakai forged piston dan silinder aluminium dengan salutan seramik untuk memperbaiki aliran haba dan ketahanan enjin.

Meskipun dikuasakan enjin yang sama namun 552-G menawarkan reka bentuk yang lebih lasak dan agresif ekoran ditawarkan sebagai skuter adventure manakala 552-H lebih sporty sebagai skuter gaya urban.
Atas kertas, masing-masing dilengkapi dengan ciri sama seperti ride-by-wire yang merangkumi dua mod menunggang dan cruise control. Ciri lain seperti ABS dwi-saluran, traction control dan TPMS (tyre pressure monitoring system) turut ditawarkan secara standard.

Bagaimanapun yang membezakan kedua-dua model ini (selain reka bentuk) adalah casis dan berat. Ini kerana 552-H adalah model paling ringan dengan hanya 185kg ekoran mengguna pakai kerangka dan swingarm aluminium. Model G pula paling berat dengan 215kg/
Jarak gerak suspensi pada 552-G lebih panjang dengan 140mm depan dan 54mm belakang berbanding 120mm dan 45mm pada 552-H.

Saiz cakera brek pada 552-G juga lebih besar dengan 276mm di hadapan berbanding 265mm pada 552-H. Sementara itu, 552-H menawarkan sport rim bersaiz 15-inci depan dan belakang manakala 552-G pula menggunakan rim 17-inci di hadapan yang dipadankan bersama rim jenis spoked.
Menurut Zontes, 552-G menawarkan tangki bahan api 16L manalala 552-H satu liter lebih kecil.

Kedua-dua model disahkan akan masuk pasaran Malaysia pada suku kedua 2027 dengan harga anggaran bawah RM40k.
GALERI: ZONTES 552-H DAN 552-G




















