Artikel Pilihan

HONGQI LS7 – SUV ULTRA MEWAH UNTUK BANGSAWAN

Hongqi ini sememangnya dikenali di China sebagai pengeluar kereta yang mengkhususkan untuk mereka yang bercitarasa tinggi serta mempunyai wang yang berkepuk tanpa perlu mempamerkan di media sosial sambil melempar duit di atas meja. Kali ini mereka memperkenalkan pula model, Hongqi LS7, sebuah SUV dengan gaya ultra mewah.

Jenama Hongqi ini sebetulnya berada di bawah naungan First Auto Works (FAW) dan jenama Hongqi ini sendiri membawa maksud Bendera Merah. Maka sebab itu kita boleh melihat ada jalur merah pada bahagian bahagian tertentu di SUV ini termasuklah pada gril dan bonet hadapan.

Jelas sekali penampilan Hongqi LS7 ini kelihatan cukup besar dan berani. Apatah lagi ianya boleh diibaratkan sebuah SUV bersaiz penuh. Walau pun bersaiz penuh, tapi ianya cuma mampu memuatkan empat tempat duduk sahaja. SUV ini jelas sekali menyamai rekaan SUV gaya Amerika, yang terkenal dengan saiznya yang besar.

Bahagian gril LS7 ini barangkali kelihatan sedikit terlebih reka dengan rekaan bilah krom yang disusun memanjang ke bawah. Macam tidak berapa kena pula bila dipadankan dengan lampu utama yang kelihatan agak kecil. Tapi apa hal, itulah yang membuatkan penampilannya akan menarik perhatian sesiapa sahaja yang melihatkannya di jalanan kelak. Dan orang sememangnya boleh mengetahui, bahawa ini adalah sebuah SUV yang cukup mewah.

Penampilan luarannya diteruskan lagi kemewahan dengan penggunaan rim bersaiz dulang, 22 inci. Sungguh pun demikan, ianya kelihatan cukup padan. Tidak kelihatan keterlaluan saiz rim tersebut untuk sebuah SUV yang saiznya lebih besar berbanding Cadillac Escalade.

SUV mewah ini sudah tentu penumpuannya adalah pada bahagian penumpang di belakang. Tempat duduk kapten serta lengkap dengan perehat kaki pasti memberikan keselesaan kepada bos di belakang. Fungsi mengurut pasti menambah lagi keselesan kepada pemilik ketika menempuh jem. Untuk menghiburkan hati, dua set skrin turut tersedia juga untuk kerusi belakang. Lampu ambient turut tersedia untuk menyambut penumpang bagi memberikan sedikit mood tenang kepada penumpang.

Trenkuasa untuk menggerakkan Hongqi LS7 ini menggunakan enjin 4.0 liter turbo V8 yang mampu menghasilkan kuasa maksimum 360 HP dan 550 Nm. Ukuran sebegini barangkali tidaklah terlalu berkuasa jika dibandingkan dengan saiznya. Apatah lagi katanya ianya hanya mempunyai kelajuan maksimum 200 km/j sahaja.

SUV yang ultra mewah dijangka ditawarkan pada harga sekitar $235,000 (RM1,044,222). Mahal bukan? Tapi kalau berduit berkoyan, apa ada hal.

BACA : PRESIDEN CHINA BAWA KERETA RASMI BAHARU KE LUAR NEGARA – HONGQI N501

BACA : ALKISAH HONGQI L5 – KERETA MEWAH BUATAN CHINA

Google ads

B K

Back to top button