Buletin

BENTLEY BENTAYGA EWB DENGAN 24 BILION PILIHAN TRIM, ORANG KAYA PUN PENING!

Beberapa bulan yang lalu, Bentley telah memperlihatkan varian Bentayga dalam versi jarak antara roda yang panjang (EWB), dan SUV mewah itu kini sedia untuk memasuki fasa produksi.

Difahamkan, setiap unit Bentayga memerlukan tempoh masa pemasangan sekitar 132 jam, termasuk 10 jam yang diperlukan hanya untuk menyiapkan trim kayu sebenar pada setiap model.

Untuk membuatkan anda lebih pening kepala, Bentley kini menawarkan sehingga 24 bilion kombinasi trim yang boleh dipilih untuk menjadikan SUV mewah anda itu lebih diperibadikan.

Menurut Bentley, lebih 50 peratus daripada pelanggan memilih spesifikasi Diamond Illumination atau tempat duduk Airline Seat yang menawarkan sehingga 22 larasan terima kasih kepada 12 motor elektrik yang terpasang, serta mampu mengesan perubahan suhu permukaan dan melakukan sehingga 177 perubahan tekanan.

Ibarat duduk dalam kapal terbang pun ada.

Sementara 30 peratus pula memilih untuk trim yang lebih eksklusif.

Bentayga EWB memiliki jarak antara roda 3,175 mm atau 180 mm lebih panjang berbanding Bentayga standard, dan boleh didapati dalam konfigurasi empat atau lima tempat duduk.

Dari segi kuasa, Bentley Bentayga EWB dilengkapi dengan nadi bentangan V8 turbo berkembar 4.0 liter menghasilkan 542 hp dan 770 Nm, dengan pecutan 0-100 km/j dalam masa 4.6 saat sahaja.

Google ads
Back to top button