" "
Artikel Pilihan

ALKISAH HONGQI L5 – KERETA MEWAH BUATAN CHINA

JIkalau Jepun berbangga dengan Toyota Century sebagai sebuah kereta mewah, China juga mempunyai kereta mewah untuk dibanggakan, Hongqi L5. Barulah boleh main angkat-angkat kening kalau parkir sebelah menyebelah.

BACA : TOYOTA CENTURY 2018 – GAYA SELESA DAN MEWAH

BACA : BENTLEY MULSANNE GRAND LIMOSIN

Model mewah L5 yang berupakan retro ini sebetulnya berinspirasikan daripada model Hongqi CA770, kereta limo mewah era 1963 – 1981. Rekaan lampu utama yang bulat dan lampu belakang yang memanjang, jelas ke-retro-annya di situ. Model ini mula dipertontonkan pada Shanghai Auto Show 2013.

Di awalnya L5 sememangnya dikhususkan untuk kegunaan pemimpin tertinggi kerajaan China sahaja yang mana ianya pernah digunakan oleh Mantan Presiden  Hu Jintao sewaktu menyertai perarakan tentera di Beijing.

L5 ini dijanakan oleh enjin 6.0 liter CA12GV60-01 V12. Kod enjin sahaja dah cukup panjang dan komplikated. Dengan kuasa 402hp, ianya lebih dari cukup untuk menggerakkan kereta yang berat hampir 3 tan ini. Enjin yang cukup berkuasa ini dipadankan pula dengan kotak gear enam kelajuan.

Walaupun kereta versi Presiden ini tidak akan dikeluarkan secara produksi massa, akan tetapi ianya masih boleh ditempah khas oleh mereka yang mempunyai kepentingan dalam kerajaan Parti Komunis itu sahaja. Harga yang ditawarkan pula adalah lima juta duit China atau kira-kira RM3,069,709.00

Walaupun model ini mewah dan mahal, namun pihak Hongqi turut bercadang untuk mengeluarkan edisi terhad model L5 ini khusus untuk golongan Jutawan Kosmetik dari China. Tapi dengar katanya harga yang bakal ditawarkan mahal sedikit, sekitar enam juta duit China. Duit kita lebih kurang RM3,684,125.00.

Malah, Hongqi L5 turut digunakan sebagai Kenderaan Rasmi bagi pembesar yang melawat China. Presiden Perancis François Hollande sewaktu melawat China turut berpeluang menggunakan kenderaan mewah kebanggaan China ini. Ironinya juga Presiden François Mitterrand turut pernah menggunakan model Hongqi CA770 sewaktu melawat China pada tahun 1983.

Menariknya mengenai model ini, ianya turut didatangkan dengan versi cabriolet dan digunakan sewaktu perarakan Hari Kebangsaan Belarus. Apa jadahnya ke Belarus pula ni? Sebenarnya dua buah model cabrio ini telah dihadiahkan oleh Menteri Pertahanan China kepada Menteri Pertahanan Belarus untuk digunapakai. China dan Belarus bersahabat baik.

Kita ini pun bersahabat baik juga dengan China kan? Agak-agak kita boleh dapat tak barang sebiji dua? Eh! Eh!

Sumber : carnewschina.com

 

 

Google ads

B K

Back to top button