Buletin

HYUNDAI KEMBALI DENGAN PROJEK KERETA TERBANG – KALI INI BERSAMA KOREA AEROSPACE INDUSTRIES (KAI)

Hyundai Motor Group kembali menghidupkan visi kenderaan terbangnya, namun kali ini dengan pendekatan lebih serius menerusi kerjasama strategik bersama Korea Aerospace Industries (KAI).

Kedua-dua syarikat baru sahaja menandatangani memorandum persefahaman bagi membangunkan pesawat Advanced Air Mobility (AAM) generasi baharu yang menggunakan sistem penerbangan elektrik.

Kerjasama itu menggabungkan kepakaran Hyundai Motor Group dalam teknologi EV dan pengeluaran besar-besaran dengan pengalaman luas KAI dalam kejuruteraan pesawat.

Menerusi projek ini, divisyen mobiliti udara Hyundai yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Supernal, akan mengetuai aspek reka bentuk dan pembangunan pesawat, manakala KAI bertanggungjawab terhadap pembangunan struktur badan pesawat.

Kedua-dua pihak turut bekerjasama dalam rantaian bekalan, pensijilan keselamatan serta rangkaian pelanggan global bagi mempercepat usaha mengkomersialkan kenderaan udara elektrik.

Langkah itu dilihat lebih tersusun berbanding konsep “kereta terbang” yang sering dikaitkan dengan idea futuristik tanpa hala tuju jelas.

Malah, pengumuman ini hadir beberapa bulan selepas laporan menyebut Supernal mengurangkan kira-kira 80 peratus tenaga kerjanya, sekali gus mencetuskan spekulasi bahawa Hyundai mungkin mahu memperlahankan projek mobiliti udara bernilai AS$1.7 bilion tersebut.

Namun, perkembangan terbaru menunjukkan Hyundai sebenarnya sedang menyusun semula strategi jangka panjangnya.

Dengan penglibatan KAI, syarikat automotif itu kini memiliki akses kepada pengalaman pembuatan aeroangkasa yang sukar dimiliki pengeluar kereta biasa.

Hyundai juga baru melantik pakar rotorcraft berpengalaman, Dr. Farhan Gandhi, sebagai Ketua Pegawai Teknologi (CTO) baharu Supernal.

Teknologi kenderaan udara kini semakin menghampiri realiti apabila beberapa syarikat pemula sudah berjaya mempamerkan prototaip pesawat elektrik yang boleh beroperasi.

Malah, beberapa kerajaan termasuk di Amerika Syarikat mula membincangkan persediaan infrastruktur untuk sistem mobiliti udara bandar pada masa depan.

Cabaran terbesar ketika ini bukan lagi sekadar teknologi, tetapi melibatkan aspek regulasi, keselamatan, pensijilan serta penerimaan orang ramai.

Jika kerjasama Hyundai dan KAI berjaya direalisasikan, Korea Selatan berpotensi menjadi antara pemain utama dalam industri mobiliti udara global pada masa depan.

Google ads
Back to top button