
KIA TINGKAT PENGALAMAN PEMILIKAN – ‘KIA MAINTENANCE PLAN’ KINI BERMULA RM2,980
Kia Sales Malaysia (KSM) terus mempergiat usaha meningkatkan mutu pengalaman pemilikan pelanggan menerusi penganjuran program Kia Ownership Experience yang berlangsung dari 11 hingga 17 Mei 2026 di Pusat 3S Kia Glenmarie, Lembah Klang.
Program selama seminggu itu menjadi platform penting buat KSM untuk mendekati pemilik kenderaan Kia, media serta komuniti automotif sambil memperlihatkan penambahbaikan berterusan dalam aspek selepas jualan, servis teknikal dan sokongan pelanggan di seluruh rangkaian pengedarnya.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif KSM, Hyung Ho Kim berkata, inisiatif tersebut mencerminkan komitmen syarikat dalam membina hubungan lebih rapat dengan pelanggan selain meningkatkan tahap keyakinan terhadap jenama Kia di Malaysia.
Menurut beliau, KSM kini memberi tumpuan kepada tiga teras utama iaitu “Return, Rebuild and Reposition” bagi memastikan pertumbuhan yang mampan, inovasi berterusan serta pengalaman pemilikan lebih menyeluruh untuk pelanggan.

Program itu turut menjadi medium bagi KSM memahami keperluan semasa pengguna tempatan di samping memperkukuhkan keupayaan teknikal rangkaian pengedarnya.
Menariknya, beberapa model Kia yang terlibat dalam program tersebut telah mencatatkan jarak perjalanan melebihi 400,000 kilometer, sekali gus membuktikan ketahanan jangka panjang kenderaan berkenaan dalam penggunaan sebenar di Malaysia.
Sementara itu, Pengarah Urusan KSM, Emily Lek berkata, syarikat memberi penekanan terhadap pengukuhan operasi pengedar serta memastikan kos pemilikan yang lebih kompetitif kepada pelanggan.

Beliau berkata, Kia turut memiliki gudang alat ganti khas berkeluasan hampir 35,000 kaki persegi bagi memastikan bekalan alat ganti sentiasa mencukupi, sekali gus membantu mempercepatkan proses servis dan penyelenggaraan.
Tambah beliau lagi, Kia kini melaksanakan proses servis 10 langkah yang merangkumi tempahan janji temu, konsultasi pelanggan, pemeriksaan kenderaan, penyerahan semula kenderaan serta susulan selepas servis bagi meningkatkan tahap kepuasan pelanggan.
Dalam program berkenaan, Pengurus Kanan Teknikal Operasi Pemilikan Kia, Hyung Gyu Choi yang mempunyai lebih tiga dekad pengalaman dalam bidang teknikal dan selepas jualan turut mengetuai sesi pemeriksaan teknikal khas.
Lebih 100 kenderaan Kia termasuk model Forte, Cerato, Optima, Picanto, Sorento, Grand Carnival, Sportage dan Sephia diperiksa sepanjang program berlangsung bagi membantu pemilik memahami keadaan semasa kenderaan masing-masing selain menyelesaikan isu penyelenggaraan tertentu.

Pelanggan yang membuat temu janji untuk program tersebut turut menerima minyak enjin percuma, pengelap cermin hadapan Kia dan cucian kereta selepas pemeriksaan selesai dilakukan.
Program itu turut mendapat sokongan beberapa rakan industri termasuk TotalEnergies, Goodyear, TRAPO dan EV Connection yang menawarkan pelbagai promosi serta pameran produk kepada pengunjung.
Selain itu, KSM turut memperkenalkan Kia Maintenance Plan yang direka bagi membantu pelanggan menikmati kos penyelenggaraan lebih stabil dan terancang untuk tempoh jangka panjang.
Pelan tersebut meliputi penukaran minyak enjin sintetik penuh, penapis minyak, penapis udara, penapis kabin, cecair brek, palam pencucuh serta pemeriksaan menyeluruh pelbagai titik pada kenderaan.

Bagi model Kia Sportage varian 1.6T, pelan itu ditawarkan pada harga RM2,980 untuk tempoh lima tahun atau 50,000 kilometer, manakala varian 2.0 pula berharga RM3,680 bagi tempoh lima tahun atau 75,000 kilometer.
Untuk Kia Carnival 2.2D pula, semua varian termasuk versi tujuh, lapan dan 11 tempat duduk ditawarkan pada harga RM3,580 bagi perlindungan selama lima tahun atau 50,000 kilometer.
Program Kia Ownership Experience berlangsung di pusat 3S Kia Glenmarie baharu yang bakal dikendalikan oleh Cycle & Carriage.
Fasiliti berkeluasan 39,240 kaki persegi itu mampu mempamerkan sehingga lapan kenderaan dalam satu masa selain dilengkapi 20 ruang servis dengan sistem diagnostik terkini dan peralatan teknikal moden bagi memastikan mutu servis bertaraf tinggi kepada pelanggan.
- BACA: GEELY MOTORSPORT TUNJUK TARING, PREFACE TCR MENANG DALAM DEBUT DI FIA TCR WORLD TOUR
- BACA: TOYOTA PILIH GAYA SPORTY UNTUK COROLLA ULANG TAHUN KE-60, HARGA MULA RM80K
- BACA: CHERY QQ3 EV DILANCARKAN DI INDONESIA MINGGU DEPAN – BATERI 4.3KWH, JARAK GERAK SEHINGGA 420KM
- BACA: LAND ROVER DEFENDER FACELIFT TAMPIL LEBIH GARANG, VARIAN EMPAT TEMPAT DUDUK JADI TUMPUAN



