Buletin

GEELY MOTORSPORT TUNJUK TARING, PREFACE TCR MENANG DALAM DEBUT DI FIA TCR WORLD TOUR

Geely Auto Group mencipta sejarah tersendiri dalam arena sukan permotoran antarabangsa apabila model baharu Geely Preface TCR berjaya meraih kemenangan sulung di pentas FIA TCR World Tour yang berlangsung di Litar Misano World Circuit Marco Simoncelli, Itali.

Kejayaan itu diraih menerusi pemandu dari China, Ma Qinghua, yang tampil cemerlang dalam Perlumbaan 2 selepas memulakan saingan di petak ketiga.

Beliau pantas memberikan tekanan kepada kelompok hadapan sebelum melakukan gerakan penting pada pusingan keenam untuk mengambil alih kedudukan pendahulu.

Selepas berjaya mendahului perlumbaan, Ma mengawal saingan dengan tenang sehingga ke garisan penamat sekali gus menghadiahkan kemenangan pertama buat Geely Motorsport Group dalam kejohanan tersebut.

Kejayaan itu turut dianggap detik membanggakan buat industri automotif China apabila bendera negara mereka berkibar di pentas perlumbaan dunia.

Model Geely Preface TCR yang dibangunkan hasil kerjasama pasukan global syarikat itu turut menunjukkan potensi besar sepanjang hujung minggu debutnya.

Juara bertahan Kumho FIA TCR World Tour, Yann Ehrlacher, turut membantu Geely mencipta podium pertama apabila menamatkan Perlumbaan 1 di tempat ketiga.

Dalam Perlumbaan 2 pula, seorang lagi pelumba Geely iaitu Thed Björk berjaya menaiki podium bersama Ma Qinghua, sekali gus membuktikan model tersebut memiliki tahap kompetitif yang tinggi sejak penampilan pertamanya.

Menurut Geely, penyertaan dalam perlumbaan antarabangsa bukan sekadar mengejar kemenangan, malah menjadi platform untuk menguji teknologi serta memperkukuhkan pembangunan kejuruteraan syarikat itu.

Kutipan mata awal musim yang memberangsangkan juga dilihat sebagai hasil usaha pasukan pembangunan di China dan Eropah yang bekerja keras membangunkan Preface TCR.

Selepas kejayaan di Misano, Geely kini bersedia menghadapi cabaran seterusnya di beberapa litar terkenal termasuk Valencia, Paul Ricard dan Vila Real, sambil meneruskan pembangunan model perlumbaan tersebut bagi meningkatkan lagi prestasi di pentas global.

Google ads
Back to top button