Buletin

HYUNDAI KONA 2023 TAMPIL GAYA FUTURISTIK. PILIHAN TRENKUASA EV, ICE DAN HEV

Hyundai Kona 2023 bakal tiba di bilik pameran Australia pada pertengahan tahun depan dengan tawaran pilihan rangkaian kuasa hibrid, petrol dan elektrik. Ia juga tampil dengan gaya baharu yang lebih futuristik.

Gred model Kona N Line yang sporty akan diteruskan ke generasi baharu. Tetapi difahamkan mungkin tiada varian Kona N performance baharu, kerana peraturan pelepasan begitu ketat di luar negara.

Hyundai Kona 2023 berukuran kira-kira 4,355mm panjang dan 1,825mm lebar dengan jarak roda 2,660mm iaitu 150mm lebih panjang secara keseluruhan, 25mm lebih lebar serta 60mm lebih panjang antara roda hadapan dan belakang berbanding model lama.

Setiap varian menawarkan pilihan gayaan tersendiri. Misalnya untuk varian EV, ia mempunyai efek piksel pada jalur lampu, gril, bampar belakang dan rim. Manakala varian ICE serta HEV berkongsi rekaan bampar yang rugged, skid plate selain terdapat kemasan hitam pada arca roda.

Varian N Line pula mendapat spoiler, bumbung serta cermin sisi hitam, rekaan bampar depan dan belakang lebih agresif, rim aloi 19 inci, skirt sisi berwarna perak serta ekzos berkembar.

Bahagian kabin menerima paparan berkembar berukuran 12.3 inci dan pencahayaan ambien berteknologi tinggi. Tuil gear juga telah dialihkan ke kolum stereng untuk mendapatkan konsol tengah yang lebih kemas.

Seperti model lama, semua pilihan kuasa petrol, hibrid dan elektrik disokong oleh casis yang sama. Tetapi Hyundai mendakwa penggayaan kereta itu bermula dengan model elektrik, kemudian disesuaikan untuk kuasa petrol dan hibrid, bukan sebaliknya.

Hyundai bagaimanapun masih belum mengesahkan spesifikasi mekanikal untuk model baharu itu. Namun ia dijangka berkongsi enjin dan transmisi dengan Kia Niro dan Hyundai i30 Sedan.

Maka, ia dijangka dipadankan dengan enjin petrol empat silinder berkuasa 117kW/191Nm 2.0 liter dalam model biasa, 150kW/265Nm empat silinder turbo 1.6 liter untuk N Line dan sistem petrol elektrik 104kW 1.6 liter pada varian hibrid.

Kemungkinan juga motor elektrik 150kW/255Nm Niro dan pek bateri 64kWh akan ditampilkan dalam Kona Electric.

Hyundai Kona 2023 dijangka berada di bilik pameran Australia mulai pertengahan tahun depan dan mengenai harga pula, ia masih belum didedahkan.

Google ads
Back to top button