Buletin

HYUNDAI, GIORGETTO GIUGIARO MAHU BINA SEMULA PONY COUPE CONCEPT 1974

Pengeluar automotif Hyundai akan bekerjasama dengan firma rekaan Itali GFG Style untuk membina semula salah satu model ikonik dan penting bagi sejarah jenama Korea itu: Pony Coupe Concept 1974.

Untuk makluman, model konsep tahun 70-an itu dihasilkan oleh Giorgetto Giugiaro dan rekaan ini sedikit sebanyak memberikan inspirasi kepada beliau untuk hasil kerja ikoniknya DeLorean DMC 12.

Model yang dibina semula itu dijangka akan muncul pada musim bunga tahun 2023.

Menurut Giugiaro, “saya menghasilkan rekaan Hyundai Pony semasa masih muda, pada permulaan karier. Saya amat berbangga dapat ditugaskan mencipta sebuah kereta untuk sebuah syarikat dan negara yang kini sangat agresif di pasaran global.

“Kini, saya amat berbesar hati diminta oleh Hyundai untuk membina kembali model tersebut sebagai sebahagian daripada warisan jenama itu,” ujarnya lagi.

Sebelum ini, Hyundai telah membina sebuah model konsep yang diinspirasikan daripada Pony menerusi model N Vision 74, di mana ia bertindak sebagai ‘makmal bergerak’ yang menggunakan trenkuasa hidrogen hibrid.

Google ads
Back to top button