" "
Buletin

HYUNDAI BERADA DALAM LIGA TERSENDIRI. JAUH TINGGALKAN PENGELUAR JEPUN

Kenderaan jenama Hyundai sememangnya sedang hangat di pasaran terutama Hyundai Ioniq 5 yang dinamakan sebagai SUV MotorTrend 2023. Ioniq 5 juga dinobatkan sebagai pemenang utama dalam Anugerah Kereta Tahunan Dunia 2022. Selain mengungguli Anugerah Kenderaan Elektrik Dunia 2022 dan Rekaan Kereta Dunia 2022.

Dengan pencapaian tersebut, pembuat kereta dari Korea itu jelas berada di hadapan berbanding pembuat kereta dari Jepun.

Sebelum ini, kenderaan jenama Jepun selalu menjadi pilihan, sama ada di pasaran Asia mahupun Eropah. Sebagai contoh, permintaan ke atas kenderaan GM, Ford dan Chrysler merosot kerana pelanggan lebih berminat untuk mendapatkan kereta keluaran Jepun seperti Nissan, Honda, Toyota, Mazda, Subaru atau Mitsubishi yang lebih murah, lengkap dan dipercayai.

Jika dahulu Jepun adalah pakar dalam dunia automotif, kini hanya Toyota dianggap kuasa besar automotif Jepun. Salah satu sebab konkrit Hyundai mampu mengatasi jenama Jepun adalah Hyundai lebih berinovasi, selain mempunyai rangkaian model hibrid plug-in, bateri elektrik dan sel bahan api untuk dijual di pelbagai pasaran global, sedangkan Jepun masih hendak memulakan langkah.

Contoh paling jelas adalah barisan jentera mewah Genesis. Model tersebut dikuasakan oleh petrol dan menggunakan platform pacuan belakang yang unik, ia bukanlah versi kereta lebih premium seperti model Lexus, Infiniti dan Acura.

Dari sudut itu, Hyundai sangat memahami kehendak pelanggan yang mahukan kemewahan sebenar terbina dalam kereta, bukannya ditambah.

Seterusnya adalah mengenai reka bentuk. Untuk pembuat kereta Jepun, agak sukar untuk kita menamakan pereka bentuk selain Alfonso Albaisa daripada Nissan. Barangkali, kita boleh menganggap bahawa pembuat kereta Jepun tidak mementingkan reka bentuk kereta.

Ia berbeza dengan Hyundai, Kia dan Genesis yang mementingkan kecanggihan dari segi visual. Tanggungjawab itu dipikul dengan baik oleh pereka bentuk Hyundai, Luc Donckerwolke yang mereka bentuk dengan visi begitu jelas tentang penampilan keretanya.

Pembuat kereta Jepun sebenarnya mampu mengeluarkan kenderaan berpotensi di pasaran dan kembali memenangi semula hati pelanggan. Namun, sejarah menunjukkan bahawa mereka lebih berminat dengan jualan terhad hingga membuatkan pelanggan yang terlepas peluang, berasa kecewa lalu beralih kepada jenama lain.

Toyota terlewat untuk membetulkan kesilapan lalu dengan jenama GR, tetapi Hyundai sudah mempunyai lebih banyak kereta jenama N yang pantas dan mampu milik untuk dipandu di seluruh dunia.

Menjelang tahun depan, Hyundai akan mempunyai model N EV berprestasi untuk dijual. “Prestasi tinggi memberi emosi kepada kereta dan orang ramai,” kata bos jenama N, Till Wartenberg.

Google ads
Back to top button