Buletin

ADA KERETA HYUNDAI/KIA TAHUN 2011-2019? ANDA MUNGKIN BOLEH DAPAT ENJIN PERCUMA

Sejak bermula dengan hatchback Excel yang buruk pada awal 1990-an, Hyundai menempuh perjalanan panjang untuk menjadi antara kuasa besar dalam dunia automotif. Kini, Hyundai berada dalam kelas tersendiri dan mampu bersaing hebat dengan jenama lain.

Kemajuan dikecapi oleh Hyundai pastinya setelah pengeluar kereta itu menerima pelbagai kritikan serta maklum balas dari pelanggan terutamanya untuk sedan popular keluarannya, Sonata.

Sonata buatan tahun 2011-2018 merupakan salah satu model paling popular yang bersaing dengan model-model seperti Honda Accord dan jenama lebih mewah Mercedes-Benz CLS.

Ia menjadi model laris untuk Hyundai kerana akhirnya pelanggan mempunyai alternatif yang boleh dipercayai selain Toyota Camry dan Honda Accord.

Malangnya, pemilik mula menyedari bahawa enjin Hyundai Sonata 2011 hingga 2019 tidak boleh diharap dan sering mengalami masalah. Hal tersebut mendapat reaksi negatif daripada pelanggan sehingga memaksa Hyundai menarik balik dan ada yang membuat tuntutan di mahkamah.

Hyundai dan Kia akhirnya memutuskan untuk menggantikan semua enjin Theta II turbo 2.4 liter dan 2.0 liter. Mereka juga memberikan jaminan kepada pelanggan dengan penggantian enjin secara percuma.

Dipendekkan cerita, enjin Theta II agak dikenali kerana masalahnya. Malah ada video di laman Youtube yang menunjukkan enjin itu meletup meskipun jumlah perbatuannya agak rendah.

Tidak kira berapa kerap minyak ditukar, atau bagaimana penyelenggaraan dilakukan, pemilik Sonata dan Optima akan menjadi pemilik kereta yang tidak bernilai sama sekali kerana masalah sering melanda bahagian enjin.

Lebih 10 tahun kemudian, dan selepas turun-naik mahkamah, kereta-kereta itu telah pun mempunyai pemilik kedua, ketiga atau lebih ramai. Walau bagaimanapun, pemilik baharu mungkin tidak tahu tentang rahsia yang disembunyikan oleh model berkenaan.

Baru-baru ini, seseorang telah menjual Hyundai Sonata Limited 2011 pada harga AS$1,500 (RM6,862). Dari luar, kereta tersebut berada dalam kondisi terbaik serta mempunyai perbatuan yang rendah untuk kereta tahun 2011. Namun, pemilik kereta tersebut mengatakan enjin tidak lagi boleh dihidupkan dan dia tiada wang untuk membaikinya.

Sudah pasti enjin terpakai dijual dengan harga sangat mahal. Tetapi, malangnya untuk pemilik tersebut kerana tidak mengetahui mengenai tentang panggilan balik, waranti dan tuntutan mahkamah untuk diganti dengan enjin baharu secara percuma.

Jadi, jika anda pemilik kenderaan yang dipasang dengan enjin Theta II 2.0 liter turbo atau 2.4 liter aspirasi biasa, anda mungkin dilindungi oleh waranti seumur hidup dan layak mendapat penggantian enjin percuma.

Antara kenderaan Hyundai dan Kia yang dilindungi oleh waranti seumur hidup termasuklah Hyundai Sonata (2011-2019), Hyundai Santa Fe Sport (2013-2019), Hyundai Tucson (2014-2015), Hyundai Tucson (2018-2019), Kia Optima (2011-2019), Kia Sorento (2012-2019) serta Kia Sportage (2011-2019).

Google ads
Back to top button