Buletin

HYUNDAI SEVEN CONCEPT – GAMBARAN IONIQ 7, BAKAL MUNCUL 2024

Hyundai baru-baru ini memperlihatkan sebuah model konsep SEVEN Concept yang turut bertindak sebagai gambaran kepada Ioniq 7 versi produksi pada masa akan datang.

Rekaan luar SUV SEVEN Concept ini membawakan elemen rekaan yang tersendiri dalam keluarga Ioniq, iaitu lampu Parametric Pixel bagi menjadikannya lebih mudah untuk dikenali umum.

Hyundai SEVEN Concept menampilkan trenkuasa elektrik dengan jarak pemanduan melebihi 483 km, serta sistem pengecasan 350 kW yang membenarkan pengecasan 10-80 peratus dalam masa 20 minit sahaja, terima kasih kepada penggunaan platform Electric-Global Modular Platform (E-GMP).

Dengan jarak antara roda (wheelbase) sepanjang 3.2 meter, SEVEN Concept menampilkan susun atur ruang kabin yang amat luas, serta susunan tempat duduk yang tidak konvensional.

Ini kerana Hyundai SEVEN Concept menggunakan tempat duduk yang boleh berputar, serta ruang lounge di belakang yang menyamai ruang rehat tetamu di rumah.

Rekaan konsol berbentuk pulau itu direka untuk menempatkan kemudahan seperti ruang kasut atau peti sejuk mini, sementara rekaan bumbung pula menampilkan paparan OLED yang boleh berubah mengikut keperluan.

Ketiadaan sebarang roda stereng menandakan SEVEN Concept merupakan sebuah kenderaan swapandu, dan ia menjadikan rekaan kokpit yang jauh lebih kompak dan kecil.

Tidak ketinggalan, penggunaan bahan-bahan yang lebih mesra alam seperti cat bio, plaster mineral, kayu buluh, resin bio serta bahagian-bahagian lain yang diperbuat daripada bahan kitar semula atau yang boleh diperbaharui semula.

Menurut Hyundai, model produksi sebenar SEVEN Concept (Ioniq 7) dijangka tiba pada tahun 2024, dengan elemen futuristik yang dikurangkan dan dengan saiz yang hampir serupa dengan model SUV Palisade sedia ada.

Google ads
Back to top button