Motosikal

NAWA DEDAH RACER. MOTOSIKAL KONSEP ELEKTRIK SIFAR EMISI

NAWA Technologies mendedahkan motosikal konsep sifar emisi yang dikenali sebagai Racer.

Motosikal terbaharu itu didatangkan dengan bateri standard dan teknologi kapasitor ultra berdasarkan nano.

Teknologi tersebut didakwa mampu menggandakan jarak perjalanan berbanding motosikal biasa yang memiliki saiz sama dengan Racer.

Pengasas NAWA Technologies, Pascal Boulanger berkata Racer merupakan visi motosikal elektrik masa hadapan.

“Ia sangat ringan, pantas dan sempurna untuk pengangkutan tanpa emisi di dalam bandar,” katanya.

Racer mendapat khidmat trenkuasa gabungan bateri lithium-ion dan kapasitor ultra berdasarkan nano yang mampu menyimpan 10 sehingga 100 kali ganda tenaga serta berupaya mengecas dengan lebih pantas.

Teknologi sama telah dicadangkan untuk digunakan pada Lamborghini.

NAWA mendakwa gabungan dua sumber tenaga itu, ia mampu memberi kuasa optimum sekali gus membuka lembaran baharu dalam trenkuasa elektrik.

Syarikat tersebut menjelaskan ia memiliki potensi dalam menggandakan jarak dan memanjangkan jangka hayat sistem kenderaan secara keseluruhan.

NAWA Racer dikatakan mampu mengharungi jarak perjalanan sehingga 300 km pada sekali cas di persekitaran bandar.

Ia akan dipertontonkan kepada khalayak pada EICMA 2021 yang akan berlangsung di Milan, Itali pada 25 hingga 28 November ini.- carscoops

Google ads
Back to top button