
INI BUKAN SAGA LAMA. INI SAGA MC3 BRO. LAMPU LED & ADAS???
Tanda nama “SAGA” merupakan satu tanda nama perdagangan yang penting bagi Proton, sangat penting sehingga model saga yang bermula pada tahun 1985 masih lagi dihasilkan dan dikeluarkan pada hari ini. Walaupun Proton sudah menerima suntikan rekaan dan teknologi baru dari Geely, tapi Saga masih lagi kekal dengan rekaan dan platform asal Proton
Selepas Saga generasi kedua diperkenalkan pada tahun 2008, model Saga sentiasa menerima kemaskini teknologi terbaru dari Proton. Antaranya ialah enjin baru, transmisi baru (4AT-CVT-kembali ke 4AT) serta beberapa teknologi yang dibekalkan oleh Geely
Model Saga menerima kemaskini terakhir pada tahun 2022 yang dipandu uji sendiri oleh penulis. Secara peribadi, ia adalah pilihan kedua anda sekiranya anda tidak suka dengan Perodua Bezza. Namun khabar angin bertiup kencang bahawa Proton sedang bersiap sedia untuk melancarkan satu lagi naiktaraf Proton Saga terbaru bagi tahun 2025.
Jadi apa perbezaan yang kita boleh nantikan dari Proton Saga 2025 nanti?
1. Platform – Proton Saga 2025 akan menggunakan platform Savvy, yang dipanjangkan dan digunakan sejak era Saga BLM. Walaupun ada khabar angin berkenaan platform baharu, Saga 2025 masih menggunakan platform sedia ada, kerana ia adalah model facelift sahaja.
Spekulasi mengenai penggunaan platform baharu dan enjin 1.5L dari Geely kekal sebagai khabar angin sahaja, tiada pengesahan rasmi daripada Proton setakat ini
2. Enjin – Dari segi trenkuasa, enjin 1.3 liter DOHC dengan teknologi VVT (Variable Valve Timing) dikekalkan. Enjin ini menghasilkan kira-kira 95 PS kuasa kuda dan 120 Nm tork, sudah mencukupi untuk pemanduan bandar dan perjalanan harian.
3. Transmisi – Kemungkinan besar masih menggunakan kotak gear automatik 4-kelajuan yang dibekalkan oleh Aisin. Pilihan transmisi manual 5-kelajuan mungkin masih ditawarkan untuk varian asas, khususnya bagi kegunaan komersial seperti teksi.
4. Lampu LED – untuk kekal relevan dan moden, Saga 2025 mungkin akan menggunakan lampu LED baru setara dengan Bezza dan juga Axia, dengan sistem reflektor biasa (bukan projektor). Jika fakta ini tepat, mungkin kita boleh lihat ciri Auto High Beam diperkenalkan
5. Bampar baru – salah satu aspek yang boleh dikawal oleh Proton ialah rekaan luar juga akan dikemaskini dengan rekaan bampar depan dan bampar belakang yang baru. Rim rekaan baru juga mungkin akan digunakan untuk memberi nafas baru pada Proton Saga 2025
6. Rekaan Dalaman Moden- buat masa sekarang Saga 2022 hanya menampilkan skrin sebesar 7 inci sahaja. Jika inginkan rekaan moden, papan pemuka perlu diberikan nafas baru sama seperti sedan S70 termasuklah penggunaan skrin (floating screen) yang lebih besar dan memanjang
Meter jarum mekanikal pula boleh digantikan dengan meter paparan digital serta suis penyaman udara digantikan dengan kemasan hitam berkilat serta paparan digital moden. Penulis juga ingin mencadangkan agar rekaan stering ditukar kepada rekaan yang lebih kompak dan menarik berbanding rekaan sekarang
7. ADAS & Keselamatan – Proton juga perlu menambah bilangan beg udara daripada 2 kepada sekurang-kurangya 4 atau 6 (untuk setara dengan Axia). Malah Saga 2022 juga tidak menawarkan sebarang ciri ADAS atau AEB. Foto intipan yang diterima menunjukkan Saga sedang diuji dengan kamera penderia pada cermin depan, memberi bayangan ciri AEB dan Lane Departure Warning akan ditawarkan
8. Apple Car Play & Android Auto – ciri sambungan moden ini adalah ciri yang paling praktikal dalam dunia moden. Dengan hanya satu sambungan sahaja anda boleh menggunakan telefon, membaca mesej, mendengar lagu, menggunakan penunjuk arah dan mengecaj telefon. Ciri sambungan audio Saga yang ada sekarang terasa sangat asas dan kuno
Buat masa ini, tiada garis masa dari Proton berkenaan dengan pelancaran model baru melainkan Proton memberikan bayangan yang model baru akan diperkenalkan pada suku ke dua 2025. Jika anda mahukan sedan yang dipertingkatkan dan sudah bosan dengan Perodua Bezza, mungkin Proton Saga 2025 ini adalah jawapannya