Artikel Pilihan

INI KOS SERVIS HONDA WR-V, SERENDAH RM 268 SAHAJA

Ya benar, kos servis Honda WR-V yang terendah ialah sekitar RM 268 sahaja tapi bukannya setiap kali anda memasuki pusat servis anda kena bayar harga tersebut. Harga servis mungkin akan meningkat bergantung pada jarak perbatuan dan juga jenis servis yang akan dibuat.

Untuk 1000km yang pertama, tiada kos yang akan dikenakan disebabkan WR-V hanya menjalani proses pemeriksaan sahaja. Berikut ialah perincian kos servis Honda WR-V berdasarkan sela masa servis setiap 10,000km ataupun bagi setiap 6 bulan.

1. 10,000km – kos penukaran minyak enjin 0W-20 ialah RM 139.13, pemeriksaan brek depan dan belakang RM 10.17 serta kos upah ialah RM 112.50. Kos ini merupakan kos berulang yang perlu dibayar oleh pemilik dan jika dikira dengan cukai jualan, pemilik perlu membayar RM 268.55.

Kos ini sama seperti kos servis pada 50,000km, 70,000km, 110,000km dan 170,000km

2. 20,000km – pada ketika ini anda perlu menukar penapis minyak enjin RM 34.68 (ditukar pada setiap 20,000km) manakala kos upah meningkat kepada RM 135.00. Ini menjadikan kos servis ke dua meningkat kepada RM 327.08 termasuk dengan kos cukai jualan

3. 30,000km – pada ketika ini anda perlu menukar penapis udara enjin (RM 93.60) dan juga penapis penyaman udara (RM 234.06) manakala kos buruh adalah percuma. Kos buruh juga adalah percuma pada servis 30,000km, 60,000km, 90,000km dan juga 100,000km. Untuk servis ke 3, anda perlu membayar sekitar RM 476.96 dan ia adalah sama untuk servis 90,000km

4. 40,000km – pada ketika ini minyak transmisi CVT WR-V perlu diganti dengan kos RM 140.76 menjadikan kos keseluruhan ialah RM 483.74. Ini adalah kos yang sama yang perlu anda bayar pada 80,000km dan 160,000km

5. 60,000km – boleh dikatakan ia merupakan servis separuh major yang perlu dibuat. Minyak brek WR-V perlu diganti dengan kos RM 41.21 selain penapis udara enjin dan juga penapis penyaman udara. Ini menjadikan kos keseluruhan ialah RM 552.85

6. 100,000km – pada ketika ini satu set palam pencucuh WR-V perlu ditukar dengan kos RM 528.81, ya agak mahal sedikit kerana WR-V menggunakan palam pencucuh iridium yang tahan sehingga 100,000km

7. 120,000km – pada ketika ini sekali lagi WR-V menjalani proses servis major dengan kos keseluruhan mencecah RM 940.06. Ketika ini penapis minyak enjin, penapis udara enjin, penapis penyaman udara, minyak transmisi CVT dan minyak brek perlu ditukar secara serentak.

8. 140,000km – sekali lagi kos servis akan menjadi mahal disebabkan pada ketika ini anda perlu menukar fuel retainer atau penapis tangki petrol dengan kos RM 648.04 menjadikan kos servis keseluruhan menjadi RM 991.02

9. 200,000 – coolant atau cecair penyejuk enjin perlu ditukar pada ketika ini dengan kos RM 81.36. Anda juga perlu menukar satu set palam pencucuh, menjadikan kos servis keseluruhan ialah RM 1,117.76.

Seperti biasa, kos yang kami sebutkan di atas tidak termasuk kos penukaran bateri, tayar 16 inci ataupun tayar 17 inci bagi varian RM, kos penjajaran dan imbangan tayar serta kos servis penyaman udara

Google ads
Back to top button