Artikel Pilihan

INI SENARAI KERETA TERPANTAS DI LITAR NURBURGRING

Litar Nurburgring atau Green Hell seperti yang digelar oleh Sir Jackie Stewart merupakan litar perlumbaan yang paling mencabar setakat ini dalam mana-mana arena perlumbaan. Litar ini juga digugurkan dari kalendar perlumbaan F1 atas faktor-faktor keselamatan. Namun ia masih digunakan untuk acara perlumbaan yang lain.

Kesukaran litar ini telah menarik perhatian banyak syarikat automotif dunia untuk membangunkan pusat kajian dan penyelidikan berhampiran litar ini bagi membangunkan model baru mereka berdasarkan tindak balas cesi kereta ketika dipandu di litar ini. Kali ini kami senaraikan kereta yang mencatatkan masa terpantas mengikut kategori di litar ini.

1. Kategori Kereta Kompak Pacuan Depan – sewaktu Honda Civic Type R dikeluarkan dulu, masa catatan yang dibuat oleh kereta ini ialah 7 minit 43.8 saat dengan kelajuan tertinggi di selekoh Metzgelfeld pada halaju 150km/jam. Namun kegembiraan Honda tidak lama kerana Renault berjaya mencatatkan masa yang lebih pantas

Renault Megane RS Trophy R mencatatkan masa 7 minit 40 saat bagi jarak yang sama, dengan perubahan kereta yang 130kg lebih ringan, brek Brembo, ekzos Akrapovic, tayar Bridgestone dan penyerap hentak Ohlins

2. Kereta Eksekutif Kelas Pertengah – atau disebut Mid Range Car dimenangi oleh Jaguar XE SV Project 8 atau juga dikenali sebagai SVO (Special Vehicle Operation). Ia merupakan kereta yang ditala khas oleh Jaguar untuk mencatatkan masa 7 minit 23.164 saat di Green Hell.

Kereta ini dikuasakan oleh enjin 5000cc supercaj V8 yang menghasilkan 591 kuasa kuda dan 700Nm tork dengan pacuan semua roda. Kereta ini dipasang dengan brek seramik, GT Wing, Electronic Active Differential, kusyen racing dan rim aloi tempaan dan paling eksklusif hanya 300 unit sahaja dihasilkan. Hanya brek kaliper sahaja yang berwarna kuning.

3. Kereta Eksekutif – bagi pasaran Eropah ini merupakan kelas kereta eksekutif mewah bersaiz besar. Dalam kategori ini terdapat 2 model yang bersaing rapat antara satu sama lain iaitu Porsche Panamera dan juga Mercedes AMG GT 63S 4 Matic. Kedua dua kereta ini bukan murah tuan tuan

Porsche Panamera mencatatkan masa 7 minit 29.81 saat dipacu oleh sistem hibrid yang menghasilkan 690 kuasa kuda dan 770Nm tork. Namun Mercedes mengatasi Panamera melalui model AMG GT 63 GTS 4 Matic yang mencatatkan masa 7 min 27.8 saat. Model ini dikuasakan dengan enjin biturbo V8 yang berupaya menghasilkan 639 kuasa kuda. Pecutan 0-100km/j dibuat dalam masa 3.2 saat sahaja.

4. SUV – bagi kategori ini, Audi RS Q8 merupakan kenderaan ulitili sport yang mencatatkan masa terpantas di litar ini dengan catatan masa 7 minit 42.25 saat. Audi RS Q8 dikuasakan dengan enjin V8 4000cc dengan turbo berkembar yang menghasilkan 591 kuasa kuda dan 800nm tork. Kalau dah varian RS, bukan calang-calang bro.

5. Kereta Sport – sekali lagi bagi kategori kereta sport, catatan masa bukan dipegang oleh jentera Itali tapi dipegang oleh Mercedes AMG GT Black Series. Ia dikuasakan dengan enjin V8 4000cc biturbo yang menghasilkan 720 kuasa kuda dan 800nm tork. Pecutan 0-100km/j dibuat dalam masa 3.2 saat dengan halaju maksima 325km/j.

Varian ini ditala oleh AMG dengan penggunaan gegelung spring AMG, penyerap hentakan boleh laras AMG, sistem ekzos AMG serta rim rekaan khusus untuk tujuan penyejukan brek sama seperti teknologi F1.

6. Kereta Talaan Khas/Homologasi – dalam kategori ini biasanya ia merupakan kereta yang asalnya dibuat khusus untuk perlumbaan tapi telah diubahsuai agar menepati undang undang jalan raya. Bagi kategori ini catatan masa terpantas dibuat oleh Porsche 911 GT2 RS MR dengan masa 6 minit 44.75 saat.

911 GT2 RS MR dikuasakan dengan enjin 3800cc boxer turbo berkembar yang menghasilkan 690 kuasa kuda dan 750Nm tork. Model ini menggunakan transmisi 7 kelajuan PDK, brek seramik 6 piston depan, brek seramik 4 piston belakang, berupaya memecut dari 0-100km/j dalam masa 2.7 saat serta halaju tertinggi pada 340km/j.

7. Kereta Prototaip – bagi kategori ini, ia dibuat bagi pengeluar mengeji teknologi terbaru yang dihasilkan oleh mereka. Versi ini tidak akan dijual kepada umum secara terbuka, dah nama pun prototaip kan. Bagi kategori ini Porsche 919 Hybrid Evo mencatatkan masa 5 minit 19.5 saat, diikuti oleh kereta elektrik VW ID.R dengan masa 6 minit 5.3 saat dan akhir sekali Lynk & Co 03 Cyan Concept dengan masa 7 minit 20.1 saat.

8. Jentera F1 terpantas – bagi kategori jentera Formula 1 terpantas, ia masih dipegang oleh Niki Lauda dengan Ferrari 312B3 pada tahun 1974 dengan catatan masa 6 min 58.2 saat. Rekod ini dibuat ketika sesi ujian masa Ferrari.

9. Motosikal terpantas – bagi kategori motosikal atau superbike, masa terpantas 7 minit 10 saat dibuat dengan menggunakan jentera Yamaha YZF R1. Motosikal ini menggunakan enjin 4 silinder 998 cc yang menghasilkan 198 kuasa kuda dan 112.4Nm tork.

10. Alza VTEC Abam Jaapar – tak uji lagi, sebab COBID

Google ads
Back to top button