
COVID-19: BOS PASUKAN MOTOGP APRILIA KRITIKAL
Bos pasukan MotoGP Aprilia, Fausto Gresini berada dalam keadaan ‘kritikal’ menurut doktor yang merawat bekas juara motosikal dunia dari Itali itu akibat Covid-19.
Gresini, 60, masih dirawat dan berada dalam keadaan koma di Unit Rawatan Rapi, Hospital Maggiore dekat Bologna selepas dimasukkan ke hospital berkenaan sejak Krismas lalu.
“Malangnya berlaku komplikasi yang menjadikan gambaran klinikal semasa menjadi kritikal,” kata Dr Nicola Cilloni dalam kenyataan.”Gresini masih menjalani rawatan di hospital berikutan kesukaran bernafas susulan jangkitan Covid-19.
“Buat masa ini, dia dibantu dengan alat pernafasan dan dalam keadaan koma.”
“Kakitangan hospital meneruskan rawatan dengan intensiti tinggi dengan harapan dapat memulihkan fungsi organ yang telah terganggu,” katanya lagi.
Gresini dimasukkan ke hospital pada 27 Disember di kampung halamannya Imola dan dipindahkan ke hospital dekat Bologna.
Pengurus Aprilia Racing Team Gresini MotoGP itu, pernah memenangi dua kejuaraan dunia sebagai pelumba bagi kelas 125cc pada 1985 dan 1987.
Bagaimanapun, pasukannya berdepan detik hitam apabila bekas juara dunia kelas 250cc dari Jepun, Daijiro Kato meninggal dunia selepas terbabit kemalangan ketika Grand Prix Jepun 2003.
Tragedi terus melanda dengan kemalangan meragut nyawa pelumba Itali, Marco Simoncelli di Grand Prix Malaysia pada Oktober 2011. – agensi
- BACA: APRILIA ASIA PACIFIC BUAT SESI PREBIU MEDIA RS660. 3 PILIHAN WARNA, LANCAR TAK LAMA LAGI
- BACA: PENANGGUHAN MOTOGP BERI KELEBIHAN KEPADA APRILIA, HONDA DAN MARQUEZ – DUCATI
- BACA: MICHELIN BIMBANG TAK CUKUP TAYAR UNTUK SESI UJIAN PRA-MUSIM MOTOGP DI LITAR LOSAIL
- BACA: EKZOS JENTERA REPSOL HONDA MOTOGP MARC MARQUEZ UNTUK DIJUAL. RM13K JE, ASAL BARANG JADI DUIT