Buletin

INILAH KERETA-KERETA JEPUN YANG TELAH MENGUBAH DUNIA

JDM yang bermaksud Japanese Domestic Market bukan hanya sekadar akronim yang menunjukkan  sesebuah kereta itu khusus untuk pasaran Jepun. JDM sebenarnya telah menjadi satu budaya yang merangkumi gaya hidup peminat kereta di seluruh dunia. Ia meliputi pengaruh dunia perlumbaan, budaya modifikasi jalanan, peningkatan teknologi dan macam-macam lagi. JDM sudah diterima sebagai budaya dan sudah bertapak di mana-mana sahaja dan negara kita pun tidak terkecuali. Sekarang kami bawakan beberapa model yang telah menyumbang kepada pengaruh JDM sehingga kini.

Toyota 2000GT

Walaupun banyak kereta Jepun yang telah mencapai taraf ikonik, Toyota 2000GT memang cukup istimewa. Bukan pada hakikat yang ia pernah muncul dalam filem James Bond dan bukannya juga disebabkan rekaanya yang hampir menyamai Jaguar E-Type. Ia merupakan antara kereta tercantik pernah dikeluarkan darI Jepun. Gabungan Toyota dan Yamaha ini cukup berbaloi dan prestasi yang dijana enjin sebaris 6 ini memang mampu mencabar Porsche 911 pada masa itu.

DATSUN 240Z

Berbeza dari 2000GT, 240Z adalah kereta sports JDM yang telah membawa kepada pengenalan baru jenama Nissan di bumi Amerika. Enjin 2.4-liternya memacu tayar belakang kereta sports coupe paling bergaya dari Jepun. Tidak seperti 2000GT, Datsun 240Z ini bukannya model tunggal seumpamanya tetapi ia telah menjadi titik tolak kepada pengenalan model-model Z seterusnya.

Mazda MX-5 Miata

Jarang kita dengar ada kereta sports yang berjaya terjual mencecah 1 juta unit sepanjang tempoh pengeluaran tapi itulah yang telah berjaya dilakukan oleh Mazda MX-5 Miata. Ia merupakan pewaris kepada kehebatan kereta sports British dan Itali sekitar tahun 50-an dan mempunyai persamaan dengan Lotus Elan. Ringan, kompak, pacuan roda belakang dan enjin NA, itulah rahsia kejayaan kereta sports kecil Mazda ini. Kini sudah berkembang sehingga generasi keempat. Inilah kereta sport terbaik untuk kegunaan setiap hari buatan Jepun.

BACA: SALAM R34 GTR DARI DUBAI UNTUK SEMUA PEMINAT JDM

Toyota Corolla

Bukan hanya supercar dan model-model sport yang telah mencorakkan budaya JDM. Toyota Corolla telah membuktikannya bila ia berjaya menewaskan Volkswagen Beetle sebagai kereta terlaris di dunia dalam tahun 1997.Corolla juga menghampiri angka pengeluaran ke 40 juta pada tahun 2013 sejak mula diperkenalkan pad a tahun 1966. Corolla juga telah berevolusi dari pacuan belakang ke pacuan hadapan mengikut peredaran masa dan ia juga mempunyai varian ikonik yang terkenal di seluruh dunia, AE86.

Honda/Acura NSX

Supercar Jepun mula mendapat perhatian bila Honda NSX diperkenalkan pada tahun 1990. Ia mempunyai papan pemuka yang diinspirasikan daripada kokpit pesawat pejuang F-16 dan input pembangunannya disumbangkan oleh bekas juara F1, Ayrton Senna. Supercar yang dihasilkan menggunakan aluminium ini terus menjadi lagenda dan menewaskan saingan eksotik dari Itali dengan kehebatan enjin VTEC 3.0-liter aluminium yang mampu menghasilkan 270 bhp kuasa. Berbeza dengan jentera eksotik Itali, supercar Jepun ini boleh dipandu setiap hari walau ke mana saja.

Toyota Supra

Mana boleh cerita pasal kereta-kereta power dari Jepun tanpa nama Toyota Supra. Ia memulakan pengeluaran dengan nama Celica Supra dan dihasilkan dengan tujuan untuk menyaingi kereta-kereta Z Nissan. Ia kemudian menjelma dengan nama Supra dan terus mendominasi senario kereta sports JDM dengan bantuan enjin hebat 2JZ-GTE yang dilengkapkan padanya. Ia merupakan enjin berpotensi besar dan mampu dinaiktaraf tanpa banyak songeh.

Mazda RX-7

Mazda tidak pernah memonopoli penggunaan enjin rotary Wankel tetapi mereka antara jenama yang paling berjaya dengan menggunakan enjin unik itu. Model mereka yang paling diingati semestinya ialah RX-7 versi FD yang telah menyemai minat penggemar dunia automotif kepada enjin rotary. Enjin 13b twin turbo yang ada padanya memang mengubah segaal persepsi buruk selama ini. Malangnya enjin ini memang tidak sesuai lagi digunakan berikutan pengenalan peraturan perlepasan bahan bakar yang lebih ketat.

Nissan Skyline GT-R R32

Walaupun sejarah GT-R bermula lama sebelum ia diperkenalkan, generasi R32 yang bertanggungjawab membawa GT-R moden kepada dunia. Pada tahun 1989 R32 GT-R menggegarkan dunia dengan enjin RB26DETT sebaris enam dan sistem pacuan semua roda ATTESA E-TS yang digandingkan khusus untuk menguasai arena sukan motor. Dengan kuasa enjin yang tinggi dan sistem pacuan semua roda membolehkan kereta ini menakluk pelbagai siri perlumbaan dan mendapat nama jolokan ‘Godzilla’.

Subaru Impreza WRX STI

Dilahirkan untuk menakluk perlumbaan WRC, Subaru Impreza WRX ini jika dilihat sekali imbas memang tak ada beza mana pun dengan versi standard. Tapi bila ia diserahkan kepada Subaru Technica International (STI), semuanya prestasi yang ada padanya telah dicungkil untuk prestasi dan kawalanyang lebih baik sekaligus mendominasi perlumbaan di jalan raya dan di laluan pedalaman. Subaru merupakan antara perintis kepada penggunaan pengecas turbo untuk kereta jalanan dan WRX STI telah menjelma sebagai sebuah jentera rali yang sempurna dengan sistem pacuan semua roda.

Mitsubishi Lancer Evolution

Ia merupakan jawapan Mitsubishi kepada cabaran yang dibawa oleh Subaru dalam kejohanan WRC. Ia juga diasaskan dari kereta penupang biasa sebelum ditabalkan menjadi jentera berprestasi tinggi. Sama seperti Subaru Impreza, ia turut menjadi mimpi ngeri kepada kereta sports mewah dan supercar dari segi prestasi. Ramuannya juga sama, pengecas turbo dan sistem pacuan semua roda. Hasilnya lahirlah sebuah jentera rali dengan potensi yang tinggi untuk modifikasi. Ia diproduksikan sehingga generasi kesepuluh sebelum pengeluarannya dihentikan tapi namanya tetap kekal sebagai model berprestasi tinggi JDM paling berjaya di dunia.

Kredit carbuzz.com

Galeri:

  

Google ads
Back to top button